Laluan sakaratulmaut dipantau

KUALA LUMPUR: Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meningkatkan pengawasan terhadap laluan `sakaratulmaut atau lokasi nahas maut di seluruh negara sepanjang Ops Sikap ke-22 yang dilancarkan sempena Aidilfitri, bermula semalam.

Di BUTTERWORTH, 14 laluan sakaratulmaut dikenal pasti di negeri ini, iaitu empat di Georgetown, masing-masing tiga di daerah Barat Daya, Seberang Prai Tengah (SPT) dan Seberang Prai Utara (SPU), manakala satu laluan di Seberang Prai Selatan (SPS).

Antara laluan maut ialah Jalan Chain Ferry, Jalan Bagan Ajam, Jalan Permatang Tiga Ringgit, Jalan Bumbung Lima, Jalan Baru Prai, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Besar Sungai Bakap, Jalan Besar Nibong Tebal, Jalan Permatang Keling dan Lebuhraya Jelutong.

Di TANAH MERAH, lokasi sakaratulmaut ialah laluan Kota Bharu-Machang-Kuala Krai, Kuala Krai-Gua Musang yang mencatatkan tujuh kemalangan, termasuk 16 kematian dalam tempoh dua minggu Ops Sikap musim perayaan tahun lalu, Kota Bharu-Machang-Jeli dan Kota Bharu-Pasir Puteh.

Pengarah JPJ Kelantan, Abdul Ghani Kasim menjangka pertambahan kira-kira 600,000 kenderaan memasuki negeri ini sepanjang musim lebaran dan menempat-kan 150 anggotanya bagi meningkatkan pengawasan 24 jam di 13 laluan nahas maut.

Di SHAH ALAM, Jalan Kuala Selangor adalah antara 52 lokasi utama dalam senarai 'hot spot' di Selangor kerana sentiasa mencatatkan jumlah kemalangan tinggi termasuk mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sehubungan itu, Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata lebih 800 anggota polis, termasuk yang bukan dari Cawangan Trafik dikerah dalam Ops Sikap di negeri ini bagi memastikan kelancaran perjalanan balik kampung Aidilfitri.
Sementara itu, PLUS Expressways Berhad menjangkakan jumlah kenderaan yang membanjiri Lebuh Raya Utara-Selatan pada musim perayaan ini mencecah 1.4 juta iaitu 30 peratus kenaikan dari 1.1 juta pada hari biasa.

Pengarah Urusannya, Noorizah Abdul Hamid, berkata bagi menangani pertambahan trafik itu, syarikat berkenaan akan melaksanakan tiga strategi iaitu pengagihan trafik melalui cadangan waktu perjalanan, meningkatkan keselesaan pengguna dan pengurusan trafik cekap dari 6 hingga 15 September ini.

Katanya, PLUS juga akan membuka semua 1,000 plaza tolnya disamping 100 laluan tol tambahan di 26 lokasi terpilih serta menugaskan lebih 3,000 pekerja.

No comments:

Post a Comment