RM 1 Juta Agihan PUZ Kepada Mahasiswa Anak Penang

Hampir RM1 juta wang zakat disumbangkan kepada 162 anak Pulau Pinang yang menuntut di beberapa Universiti sekitar Jordan, Mesir dan Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Haji Othman berkata, jumlah agihan sumbangan zakat kendalian Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) itu berdasarkan kadar kos kehidupan di luar negara dan bidang pengajian yang diambil oleh mahasiswa berkenaan.

"RM5,000 diberikan kepada pelajar bidang agama di Mesir serta Jordan, dan RM12,500 badi bidang perubatan di negara yang sama.

"Manakala, RM4,000 diberikan pelada pelajar bidang agama di Indonesia dan RM6,000 kepada kepada pelajar bidang perubatan di negara yang sama," ujarnya semalam di Dewan Masyarakat Penyayang, George Town.

PenangInsight.com difahamkan, tajaan akan terus diberikan kepada mereka sepanjang tempoh pengajian dengan syarat mendapat kelulusan akademik saban semester.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim turut berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Haji Ahmad dan Dr Azman Abdul Samat (Pengurus Besar PUZ MAIPP).

Kira-kira 300 hadirin, termasuk waris kepada mahasiswa berkenaan hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan IPT Luar Negara anjuran Majlis Agama Islam Pulau Pulau Pinang (MAIPP).

Dalam perkembangan lain, Mansor turut menyeru hadirin menyokong hasrat memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan merombak perbadanan itu menjadi skim biasiswa ke arah merealisasikan pendidikan percuma di negara ini.

Dijentik Halus


Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam keadaan berlumuran darah.
Melihat keadaannya demikian, Rasulullah s.a.w. bertanyakan puncanya. Rupanya disebabkan

Ia terlalu asyik memandang seorang wanita lalu di hadapan, lalu dia terlanggar tembok di depannya. Akibatnya itulah dia pulang dalam keadaan berlumuran darah. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda maksudnya. “Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya,
Maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia.”

Rupa-rupanya jika Allah sayangkan seseorang hamba itu, di segerakan baginya hukuman di dunia lagi. Jadi bersyukurlah andai sekali-sekala azab Allah di segerakan pada kita. Bukan semata-mata menghukum, Sebaliknya sekadar menyucikan dosa kita dan hukuman berupa peringatan itu sekadar menjentik secara halus.

Bersyukurlah juga andai mengingatkan insan-insan lain melalui apa jua medium dakwah, kita juga di ingatkan Allah. Itu juga tanda Allah sayangkan kita, sayang nak biarkan kita alpa dan lupa terhadap peringatan-Nya.

Pejamkan mata kita seketika, tarik nafas, rasailah kasih sayang Allah yang tidak bertepi. senyumlah…Kemudian kerahkan hati, lisan dan seluruh anggota badan agar membalas kasih sayang-Nya dengan penuh ketaatan kepada-Nya.

Wallahu’alam

Panaskan Enjin Kereta Sebelum Jalan Hanya Mitos


Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendah dan sebagainya termasuk helikopter.
Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Makan masa dalam 15 minit juga. Golongan kaki panaskan enjin seperti itumesti bangun awal. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.
Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?
Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idling melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?
The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia?
Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau dengan kata lain stylel Amerika, lagi ‘gentle’ kalau pandu terus. Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam amalan yang tidak betul ini.
DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.
PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR
Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.
PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.
FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun dah mula guna pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.
Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Anda rasa apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?
MEMBAZIR DAN MENCEMARKAN
Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.
Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?
Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti pelanggan mengadu. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup.
Seperkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak. Kalau tunggu kekasih turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Hadiah Nobel Keamanan.......Untuk PM


Cakap-cakap mengenai "hung parliament" (parlimen tergantung), penukaran kerajaan baru dan kejatuhan BN sudah mula didengari. Semua ini ada kemungkinan berlaku. BN kini berada dalam keadaan terdesak. Formula sedia ada - yang direka untuk memenangkan BN - kawasan campuran, kini sudah menjadi bahaya buat BN.

Undi Melayu yang menjadi tunjang kekuatan BN terganggu dek kerana skandal Nastional Feedlot Corporation (NFC) yang menyebabkan Shahrizat Jalil tidak terus menjadi menteri. Dan tidak lama lagi, beliau pasti tersingkir dari jawatan ketua Wanita Umno. Untuk melakukan persempadanan semula kerusi parlimen, BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Maka kini BN terdesak. Peratusan untuk kehilangan kuasa itu amat tinggi.

Situasi ini menguntungkan Pakatan Rakyat. Sehingga ramai yang begitu yakin selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti, mereka akan ke Putrajaya. Tidak salah untuk mempunyai keyakinan sebegitu. Apatah lagi parti politik itu memang objektifnya untuk mendapatkan kuasa. Tapi jangan kita lupa BN mempunyai banyak lagi senjata yang akan digunakan untuk mengekang Pakatan dari mengambil alih Putrajaya. Penipuan pilihan raya pasti akan dilakukan.

PRU ke-11 menyaksikan kerajaan negeri Terengganu jatuh semula ke tangan BN. Peratusan keluar mengundi yang luar biasa di kebanyakan kawasan. Operasi yang digelar "Operasi Terengganu" itu dikatakan bakal berlaku di Selangor.

Operator "Operasi Terengganu" dikatakan telah lama bertapak di Selangor. Kerajaan Pakatan pimpinan Khalid Ibrahim yang disokong rakyat akan tumbang dalam PRU ke-13 nanti. Bukan sebab tidak disokong rakyat akan tetapi kerana "Operasi Terengganu".

Hadiah nobel keamanan

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, jika Pakatan berjaya ke Putrajaya dalam PRU ke-13 tanpa sebarang kekacauan dan berlaku secara aman, ia merupakan satu sejarah besar bagi negara dunia ketiga.

Malaysia akan menjadi negara dunia ketiga pertama menukar rejim melalui pilihan raya dan perdana menteri, Najib Razak wajib menerima anugerah Nobel Peace Prize. Lihatlah bagaimana negara jiran kita (juga negara dunia ketiga) seperti Indonesia, Thailand dan Filipina? Mereka menggunakan jalan raya. Ratusan ribu rakyat di jalan raya berjuang sehingga berlaku pertukaran rejim. Lihat juga bagaimana di negara-negara Arab yang dilanda "Arab Spring"? Bukankah semuanya melalui jalan raya?

Najib adalah pengerusi Umno negeri Selangor. Sudah tentu dia mahu pastikan negeri terkaya di Asia Tenggara itu kembali ke pangkuan BN. Jika Najib gagal, dia juga bakal menerima nasib seperti Abdullah Badawi. Senator Dr Syed Husin Ali turut berkongsi pandangan dengan Mat Sabu. Beliau yakin Selangor akan dirampas oleh BN dengan cara yang paling kotor.

"Pertambahan pengundi baru di kawasan parlimen Subang sangat 'luar biasa' berbanding dengan jirannya di Petaling Jaya Utara. 
"Jika menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim dipindahkan dari seorang pengundi di Selangor menjadi pengundi Kuala Lumpur, apatah lagi rakyat biasa. Sudah pasti ramai penyokong Pakatan dipindah ke merata tempat," kata Syed Husin.

Situasi ala zaman Marcos

Di akhir zaman pemerintahan Ferdinand Marcos di Filipina, banyak kesilapan-kesilapan besar dilakukan. Selain dari perangai buruk Imelda Marcos yang boros berbelanja, banyak kejadian yang tidak seharusnya berlaku, terjadi dan ini menyumbang kepada kejatuhan regim Marcos.

Kesilapan terbesar pertama adalah pembunuhan Benigno "Ninoy" Aquino yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada tahun 1983 di lapangan terbang antarabangsa (kini Ninoy Aquino International Airport). Pembunuhan Ninoy memberikan "vitamin" kepada gerakan penentangan terhadap Marcos. Cory Aquino - balu Ninoy diangkat sebagai simbol perlawanan terhadap Marcos.

Kesilapan terbesar kedua adalah Marcos terpaksa akur kepada tuntutan rakyat dan masyarakat antarabangsa agar pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil.
National Citizens Movement for Free Elections (Namfrel) yang didirikan selepas pembunuhan kejam Ninoy diberikan akreditasi untuk memantau perjalanan pilihan raya presiden mengejut pada tahun 1986.

Namfrel mendapat sokongan majoriti rakyat. Apatah lagi apabila 'mufti besar' Filipina pada ketika itu, Cardinal Sin mendokong Namfrel. Pemantauan yang dijalankan oleh Namfrel membuktikan bahawa penipuan besar-besaran dilakukan oleh Comelec (SPR Filipina) untuk memenangkan Marcos. Rakyat yang tidak percayakan keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh Comelec memilih jalan raya. Selepas empat hari di jalan raya, regim Marcos tumbang dan diktator itu melarikan diri ke Hawai, Amerika Syarikat.

Apa yang harus dilakukan?

Yang paling mudah adalah bercakap. Berceramahlah ke merata negara memberitahu rakyat bahawa penipuan pilihan raya bakal berlaku dalam PRU ke-13. Tanpa sebarang tindakan, penipuan akan terus berlaku. Ke jalan raya untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil adalah satu jalan. Filipina pernah melakukan tindakan sebegini. Begitu juga dengan Indonesia. Tunisia dan Mesir turut melakukannya dalam siri "Arab Spring".

Malaysia harus melakukannya jika serius mahukan reformasi pilihan raya. Persoalannya, sanggupkah pengorbanan dilakukan? Tertangkap sewaktu berdemonstrasi adalah perkara biasa. Tidak boleh lagi dianggap sebagai pengorbanan. Sanggupkah rakyat Malaysia ke jalan raya sehingga tuntutan mereka tercapai? Satu minggu, dua minggu, tiga minggu?

Jika belum sampai ke tahap sanggup mengorbankan nyawa, tidak akan berlaku perubahan dan demokrasi yang diinginkan. Harga untuk sebuah perubahan dan demokrasi itu memang mahal. Kita ambil contoh keberanian mahasiswa dalam berjuang untuk kebebasan akademik. Bersimbah darah apabila dipukul. Ini yang diperlukan untuk mencapai impian besar.

Kadangkala rakyat sudah bersedia tetapi pemimpin yang takut kehilangan kehidupan sebagai ahli parlimen atau ADUN. Pemimpin beginilah yang memberatkan gerakan.

Pilihan di tangan anda

Tepuk dada tanya selera. Anda boleh memilih untuk membiarkan saja penipuan pilihan raya berlaku tanpa berbuat apa-apa. Apabila keputusan pilihan raya diumum, anda kecewa kerana undi anda dicuri. Pemimpin yang anda pilih kalah. Parti yang anda sokong hilang negeri yang dikuasai. Semuanya kerana khayalkan dadah Putrajaya. Berangan untuk memimpin Malaysia tetapi jahil dan dangkal tentang realiti politik.

Kekuatan sokongan masyarakat Cina dianggap seperti "fixed deposit" yang pasti menyebabkan BN tumbang. Golongan jenis ini pasti terlupa apa yang pernah berlaku kepada negeri Terengganu. Logikkah rakyat Terengganu mengundi untuk kembali membayar cukai pintu? Sama seperti logikkah rakyat Selangor mengundi untuk kembali membayar bil air?
Logikkah majoriti rakyat bawahan mengundi untuk kenaikan harga minyak dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)?

Sudah sampai masanya untuk kurangkan bercakap dan melakukan tindakan. Pemberat-pemberat gerakan harus ditendang keluar juga dari gerakan.

Mereka ini adalah 'reformis gadungan' yang sama seperti Zulkifli Nordin, Ezam Mohd Noor, Ruslan Kassim dan ramai lagi. Cuma rakyat bernasib baik kerana tipu helah mereka berjaya dihidu lebih awal.

Pemarkahan Sistem Pendidikan Malaysia, 47 Markah Pun Boleh Dapat A ke??


Markah Gred SPM Pemarkahan Sistem Pendidikan Malaysia. Adakah Ini Penanda Aras Markah Dalam SPM?
Jikalau di peringkat universiti contohnya, biasanya ada kalangan pensyarah mereka mempunyai sasaran mereka yang tersendiri. Contohnya ada satu subjek ini mereka mensasarkan seramai 5 orang pelajar dapat A, tetapi akhirnya yang dapat A hanya seorang sahaja yang mencapai markah 80markah (80-100 A). Jadi apa penyelesaiannya?  
Jadi untuk mencapai KPI, mereka akan turunkan gred markah A. Itu di universiti. Bagaimana mana pula di situasi sebenar peringkat persekolahan. Dalam laporan kali ini, ia menyentuh soal penilaian bagi keputusan SPM yang ada sekarang ini. Biasanya setiap tahun, peratusan markah akan disemak semula.
Setiap tahun, penanda aras markah A adalah berubah-ubah mengikut kehebatan calon-calon dan corak soalan yang disediakan pada tahun tersebut.
  • Markah ini mengikut graf
  • Jikalau soalan peperiksaan tahun tersebut sukar, dan calon tidak dapat menjawabnya dengan baik, maka graf akan menjadi rendah
  • Jadi, semuanya akan mengikut kesesuaiannya
Biasanya, sistem markah di peringkat kebangsaan adalah berdasarkan statistik. Sistem Cambridge pun menggunapakai untuk IGCSE dan A-Level. Mereka perlu selaraskan taburan gred untuk setiap tahun. Ini disebabkan setiap tahun tahap soalan ada sedikit perbezaannya.
  1. mungkin tahun A, soalannya terlampau susah, maka tak ramai yang mampu mendapat markah yang tinggi
  2. mungkin juga pada tahun B soalan menjadi lebih senang, jadi sistem “normal distribution” perlu dilaksanakan
  3. inilah yang dikatakan adil kepada semua pelajar setiap tahun mengikut sistem yang digunapakai kerajaan selama ini
Walaupun isi pembelajaran tetap sama, tetapi biasanya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu meneliti kepada Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) :
  1. Persoalan, berapa banyak soalan KBKK?
  2. Persoalan, disebalik berapa banyak soalan H.O.T yang keluar setiap tahun dan berada pada aras berapa?
  3. Dan satu lagi, yang menggubal soalan bukan orang yang sama setiap tahun
  4. Itu itu antara kriteria yang telah diambil kira
  5. Sebab itulah wujud taburan normal setiap tahun.
  6. Bukan setakat Malaysia sahaja yang menggunapakai sistem ini, termasuklah UK juga menggunapakai sistem yang sebegini rupa
Pemarkahan sistem pendidikan Malaysia juga dibuat berdasarkan sistem loceng. Jika mana-mana daripada anda yang belajar subjek Matematik Tambahan sebelum ini, memang akan belajar bab ini.
Sistem loceng begini mekanismenya :
  • Katakan ada seratus orang, 20 orang akan dapat keputusan cemerlang, 60 orang akan dapat markah yang serdahana/pertengahan manakala 20 orang lagi akan dapat keputusan paling rendah
  • Jadi, apa yang berlaku? Kalau dalam 20 orang tertinggi itu markah tertingginya adalah sekitar 60++ maka 60++markah adalah A/A+
  • Kalau 20 teratas itu mendapat lingkungan markah 90++markah, maka A/A+ akan menjadi >90 markah dan begitulah seterusnya
Ingat, ini namanya sistem loceng. Sebab itulah negara luar tidak mengiktiraf sistem pendidikan di Malaysia, berbanding Australia atau negara maju lain. Hakikatnya, sistem pendidikan kita masih ketinggalan 10-15 tahun kebelakang.
Jadi, untuk keputusan SPM/PMR yang dekat dengan tarikh pilihanraya, suka atau tidak memang ada “memberikan sedikit pengaruh” dan calon pada yang bakal menerima keputusan pada tahun tersebut akan sedikit bernasib baik. Faktor “tuah” pada tempoh tersebut memang tidak boleh dipertikaikan.
Kami sentiasa menantikan satu sistem pendidikan di mana, pada pendapat kami tidak perlu terlalu berteraskan kepada peperiksaan semata. Kecuali untuk subjek-subjek tertentu. Mungkin boleh dilaksanakan peperiksaan secara menyeluruh apabila pelajar tersebut ingin memasuki universiti sahaja? Mungkin? Itu pun subjek bergantung kepada kursus pilihan di universiti.
“self education, learn by practicing”
Sumber : Berita Semasa

Kerajaan Benarkan BERSIH 3.0 Berlansung



Kerajaan tiada masalah membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 dilangsungkan seperti dirancang selagi penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2011 dan tidak menimbulkan sebarang gangguan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, atas semangat akta yang baru digubal itu, kerajaan tidak akan melarangnya.Ditanya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Hishammuddin berkata kumpulan itu boleh berhimpun tetapi tidak boleh menyusahkan orang awam atau menjejas ketenteraman awam.

Ditanya sekiranya penganjur boleh menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan, Hishammuddin bagaimanapun tidak memberikan jawapan jelas. Sebaliknya, beliau berkata penganjur perlu berbincang dengan polis dan mencari lokasi lain supaya tidak menjejaskan orang awam.

Penganjur perhimpunan itu, BERSIH 2.0, sebelum ini mengumumkan bahawa perhimpunan berkenaan akan dijalankan selama dua jam bermula jam 2 petang pada 28 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perhimpunan dengan tema "Duduk Bantah" itu juga akan diadakan serentak di lokasi tertentu seluruh negara dan negara lain.

Perhimpunan berkenaan juga akan disertai oleh Himpunan Hijau – perhimpunan untuk membantah loji nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang.

Qarin Pendamping Manusia



Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

Nasi Hujan Panas Kena Kebas Dek Pemimpin



GEORGETWOWN: “Saya dan isteri terpaksa menanggung malu kepada rombongan pengantin perempuan yang tiba dari Terengganu, penduduk kampung serta jemputan,” kata Md Saad Hasan, 68, mengulas tindakan seorang lelaki yang dikatakan pemimpin parti pembangkang, melarikan satu periuk nasi majlis kenduri kahwin dua anak lelakinya di Kampung Pulau Betong, di sini, 4 Mac lalu.

Menurutnya, hingga kini penduduk kampung masih bercakap mengenai kegagalannya menyediakan sajian istimewa iaitu nasi hujan panas yang sepatutnya dihidangkan untuk rombongan keluarga pengantin perempuan yang tiba dengan sebuah bas.


Md Saad berkata, dia kesal dan kecewa dengan tindakan pemimpin parti pembangkang Kampung Terang yang sanggup melarikan periuk nasi ketika majlis kenduri itu tanpa berjumpa dengannya terlebih dulu.

“Saya difahamkan, mereka mengambil nasi terbabit untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang untuk satu program anjuran kerajaan negeri di kampung ini. “Mereka melarikan periuk berisi nasi itu menggunakan sebuah lori yang siap menunggu,” katanya yang ditemui di sini, semalam. Warga emas itu berkata, ketika itu dia bersama isteri dan ahli keluarga lain sibuk melayan tetamu apabila dimaklumkan tukang masak bahawa satu periuk nasi dilarikan lelaki berkenaan.

“Keadaan menjadi kelam kabut dan saya serta isteri bergegas ke dapur. Keadaan menjadi kecoh kerana tiada nasi boleh diganti untuk dihidangkan kepada tetamu. “Ketika itu juga rombongan keluarga pengantin perempuan terdiri daripada 50 orang tiba dengan sebuah bas dan saya kecewa apabila mereka terpaksa pulang dalam keadaan lapar,” katanya. “Sikap pemimpin parti itu menunjukkan dia hanya mementingkan diri tanpa memikirkan perasaan orang lain menyebabkan majlis kenduri yang dirancang dengan baik menjadi kelam kabut,” katanya.


Menurutnya, dia kemudian bertemu dengan pemimpin berkenaan untuk meminta kepastian berhubung tindakannya melarikan periuk nasi itu. “Ketika bertemu dengannya, dia meminta maaf dan mengakui kesalahannya kerana mendakwa nasi yang dimasak di lokasi mereka melakukan program ketika itu mentah, biarpun sudah dua kali masak. “Dia mendakwa terpaksa mengambil nasi di rumah saya untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan lancar,” katanya.



Md Saad yang tidak berpuas hati dan rasa dirinya dimalukan pemimpin berkenaan membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau, kelmarin.

Senarai Ranking Universiti di Malaysia



  1. 428 Universiti Putra Malaysia (UPM)
  2. 437 Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  3. 464 Universiti Sains Malaysia (USM)
  4. 523 Universiti Kebangsaan Malaysia / National University of Malaysia (UKM)
  5. 596 Universiti Malaya – Universiti Malaya (UM)
  6. 626 Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  7. 891 Multimedia Universiti (MMU)
  8. 1222 Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  9. 1341 Universiti Malaysia Perlis (Unimap)
  10. 1411 Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
  11. 1598 Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  12. 1687 Universiti Tenaga Nasional (Uniten)
  13. 1734 Universiti Utara Malaysia (UUM)
  14. 1777 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
  15. 1838 Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  16. 1842 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
  17. 2127 Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  18. 2185 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  19. 2439 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  20. 2726 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  21. 2922 Open University Malaysia (OUM)
  22. 3980 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem)
  23. 4083 International Medical University
  24. 4232 Taylor’s University College
  25. 4481 Tunku Abdul Rahman College
  26. 4566 Universiti Pertahanan Malaysia (UPN)
  27. 4644 University of Nottingham Malaysia
  28. 4852 UCSI University
  29. 4977 Monash University Malaysia
  30. 5012 Malaysia Theological Seminary
  31. 5074 Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  32. 5931 Curtin University of Technology Sarawak Campus
  33. 5931 Universiti Industri Selangor
  34. 6045 Selangor International Islamic University College
  35. 6075 Al Madinah International University
  36. 6163 Wawasan Open University
  37. 6343 Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR)
  38. 6482 KDU College
  39. 6607 Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  40. 6642 Asia Pacific Institute of Information Technology
  41. 6978 Help University College
  42. 7018 Sunway University College
  43. 7031 INSANIAH University College
  44. 7320 Universiti Sultan Zainal Abidin (Universiti Darul Iman Malaysia)
  45. 7361 Segi College
  46. 8058 Malaysian Institute of Management

SI TANGGANG DAN BATU CAVES


Mula-mula aku hanya mendengar kisah Si Tanggang ini dari arwah Nenek. Ketika itu aku masih belum ke sekolah lagi.  Nenek  aku selalu membuka cerita ketika hendak  tidur.  Ini dizaman sebelum radio dan tv.  Cerita dari Nenek  ini menjadi penglipur lara untuk membawa ngantuk.  Macam-macam cerita yang aku dengar. Ada kisah Tuan Puteri, kisah Anak Raja, kisah Gergasi — macam—macam kisah.  Ada kisah yang berulang kali aku dengar. Tidak muak-muak. Macam filem klasik Casablanca yang selalu diulang tayang.
Rumah kami jauh di pedalaman — di hulu kampung. Kerana duduk di hulu kampung  menjadikan aku tidak hairan dengan kisah Orang Asli ini.  Di akhir kampung kami ialah perkampungan Orang Asli.  Aku selalu ternampak Orang Asli. Malah mengikut surah Nenek -  bezanya keluarga kami dengan Orang Asli hanyalah yang kami telah menerima Muhamad sebagai Penghulu. Orang Asli tidak memerlukan Tok Penghulu dari negara Arab. Orang Asli telah ada Tok Batin mereka sendiri.
Si Tanggang  adalah cerita anak  Orang Asli. Ketika aku mendengar surah Si Tanggang ini dari arwah Nenek,  aku tidak sedar tentang metapora yang ingin disampaikan.  Aku tidak faham apa makna Si Tanggang ini. Apa yang menarik hati aku hanyalah Si Tanggang ini suka makan cikah panggang dan suka makan pisang salai. Nampaknya Si Tanggang ini memiliki selera yang tidak  jauh dari selera aku. Aku pun suka pisang salai tetapi aku belum ada peluang untuk menikmati cikah panggang.
Kemudian bila aku masuk  bersekolah dan mula pandai membaca  aku telah bertemu dengan kitab  Hikayat Si Tanggang. Aku rasa kitab ini aku baca ketika aku dalam darjah tiga. Hikayat ini cukup menarik hati aku.  Malah hikayat ini lebih tepat dan panjang dari apa yang disurahkan oleh Nenek.
Paling menakjubkan untuk aku ialah gambar-gambar yang tertera dalam kitab ini.  Untuk aku kitab ini bukan hanya  sebuah hikayat   malah ada  gambar sebagai bahan bukti.  Sampai ke hari ini aku masih  ingat dengan jelas gambar lelehan darah  Deruma -  ibu Tenggang -  yang  tangannya di ketuk oleh Si Tanggang kerana cuba naik ke atas kapal.  Gambar bilik-bilik gelap  amat meyakinkan  aku bahawa apa yang aku baca adalah fakta.
Gambar kapal Nakhoda Tanggang yang terbalik  ada juga dalam kitab tulisan A.Samad Ahmad ini. Malah gambar Sang Pengarang yang membawa lampu minyak menyelidik kapal Si Tenggang ini  menjadikan aku cukup terigin untuk melihat sendiri  kapal Si Tanggang ini. Bayangkan anak kecil darjah tiga membaca Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka - pastilah aku cukup terpengaruh.  Malah ketika itu aku cukup yakin bahawa Batu Caves itu ialah kapal Nakhoda Tanggang yang telah disumpah menjadi batu.
Aku juga cukup yakin bahawa  manusia yang bernama Tanggang ini wujud. Aku amat yakin semua gambar-gambar  dalam kitab  A.Samad Ahmad ini adalah bahan bukti yang tidak dapat dipertikaikan — walau pun pada ketika itu agak susah juga imajinasi  aku untuk menghazam gua batu itu sebagai  bilik tidur Si Tanggang.
Dua kali aku khatam kitab ini. Aku menjadi  bangga kerana boleh bercerita dengan kawan-kawan tentang asal  usul Batu Caves. Sayangnya ketika itu keluarga aku  duduk di Jelebu dan untuk ke Batu Caves pada tahun  1959 adalah satu yang mustahil.
Aku bernasib baik kerana pada tahun 1960 ada rombongan orang-orang kampung aku melawat Kuala Lumpur. Ketika itu bukan senang untuk datang ke Kuala Lumpur walau pun hanya 70 batu dari Jelebu.  Dengan cara membuat rombongan  kami  orang kampung dapat berkongsi menyewa bas untuk melihat Kuala Lumpur.
Melawat Kuala Lumpur adalah mimpi  dan angan-angan berahi untuk anak sekolah seperti aku. Antara tempat yang  dilawati ialah Bangunan Utusan Melayu,  Bangunan Dewan Bahasa, Bangunan Parlimen dan Lake Garden untuk berehat dan membuka bekalan untuk makan tengah hari.   Sebelah petang kami akan  pergi ke Batu Caves — tempat Si Tanggang.
Sebenarnya aku tidak tahu letak duduk tempat-tempat yang ingin aku lawati ini. Kuala Lumpur bagitu besar dan amat asing untuk aku. Di wilayah mana letaknya Batu Caves tidak aku ketahui langsung. Pemandu bas kami dari Jelebu berhenti tiga kali untuk bertanyakan arah jalan ke Batu Caves.
Akhirnya petang itu aku sampai ke Batu Caves. Aduh!  Aku mendongak dan ternampak tangga batu yang tinggi  yang mengarah hilang ke dalam  ke mulut gua batu. Ketika itu aku terfikir besar sungguh  kapal Nakhoda Tenggang itu. Aku merasa bagitu gembira akhirnya niat dan cita-cita untuk melihat kapal Si Tenngang  termakbul.
Aku memanjat dan cuba mengira anak tangga. Sampai setengah jalan kiraan aku bersimpang-siur.  Akhirnya kiraan aku hilang kerana kepala aku sering berimajinasi tentang  Si Tanggang. Di tepi tangga kelihatan hutan dan belukar yang meliar.  Imijinasi aku agak susah untuk mengkahwinkan hutan belukar ini dengan laut dan kapal Nakhoda Tenggang.
Agak lengoh juga kaki aku memanjat tangga.  Akhirnya aku sampai ke mulut gua batu. Diatasnya lopong.  Aku agak kecewa kerana aku amat berharap  akan bertemu dengan puluhan anak-anak kapal yang telah menjadi batu. Sekurang-kurangnya rangka-rangka batu yang menyerupai manusia. Semuanya tidak ada.
Aku bersiar mencari sesuatu untuk menguat  dan membuktikan bahawa Nakhoda Tanggang ini wujud dan aku sedang berada dalam perut kapalnya. Apa yang aku lihat  dalam Batu Caves pada tahun 1960 hanyakah gua kosong yang luas. Diatas  gua ini terbuka lubang  luas  yang membawa masuk  cahaya yang menerangi sebahagian dari gua ini.  Aku ternampak  kelawar berterbangan dan menghilangkan diri ke dalam gua.
Aku berjalan ke dalam gua yang agak gelap ini  lalu aku ternampak patung yang  aku amat pasti bukan patung anak-anak kapal  Nakhoda Tenggang tetapi patung Hindu. Aku tidak mungkin silap kerana patung serupa ini  pernah aku lihat dalam kuil Hindu di Kuala Klawang. Baru aku sedar bahawa orang India beragama Hindu telah menggunakan gua ini untuk bersembahyang.
Ketika aku meninggalkan mulut gua itu aku merasakan alangkah baik jika aku membawa lampu picit. Dengan lampu ini aku boleh masuk  menjelajah  jauh ke dalam gua batu ini. Besar kemungkinan aku akan bertemu dengan apa yang telah ditemui dan ditulis oleh  oleh A.Samad Ahmad dalam bukunya Si Tanggang Anak Derhaka.
Aku manapak turun. Dan kali ini aku terperanjat besar kerana  di sebelah kanan berhampiran dengan tangga pertama ada sebatang pokok mangga. Kewujudan pokok mangga ini tidak aku sedari ketika aku mula menaiki tangga. Melihat pokok mangga ini  -  aku teringat dibabak akhir  Daruma ibu Si Tanggang telah datang membawa cikah panggang, pisang salai dan sebiji mangga ranum. Semua ini adalah makanan  kesukaan Si Tenggang. Si Ibu ingin mengembalikan ingatan anaknya yang telah melupakan asal usulnya.
Apabila Sang Ibu ingin naik ke atas kapal Si Tanggang  telah memukul tangan ibunya. Tanggang merasa malu dihadapan isterinya. Dia tidak mahu diketahui  yang dia berasal usul dari Orang Asli. Dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Si Tanggang  telah berkahwin dengan gadis Melayu anak seorang saudagar.  Kini Tanggang  bukan lagi anak sakai tetapi telah menjadi Melayu dan  seorang Nakhoda.
Ketika Tanggang memukul tangan ibunya maka tercampaklah buah mangga itu ke tebing sungai. Ketika ini juga Talang, ayah Si Tanggang, membibit tangan isterinya  untuk mengundur.  Apabila mereka di tebing  sungai Sang Ibu telah berdoa dan menyumpah anaknya yang derhaka. Ketika ini ribut dan taufan sampai dan kapal Si Tanggang terbalik lalu menjadi batu.
Buah mangga yang tercampak itu akhirnya tumbuh dan membesar. Pokok mangga ini adalah imej akhir yang aku teringat tentang Batu Caves 50 tahun dahulu. Pada petang itu aku meninggalkan Batu Caves dengan penuh kesedaran untuk tidak akan merasa malu akan asal usul aku dari darah Biduanda yang juga Orang Asli.
Hari ini aku tidak tahu bila bermulanya  kapal batu Si Tanggang beralih  menjadi tempat suci agama Hindu. Aku juga tidak tahu bagaimana kapal Si Tanggang ini beralih tangan untuk menjadi  apa yang kita lihat hari ini. Hari ini aku ternampak bahawa telah didirikan satu patung besar disebelah  kanan pintu masuk ke Batu Caves ini.  Ini adalah  Lord Murugan. Apakah sangkut pautnya Lord Murugan dengan  Si Tanggang tidak  pula aku selidiki.
Yang aku tulis ini hanyalah ingatan aku agar ianya menjadi kenang-kenangan. Tulisan ini hendaknya  menjadi ingatan  kepada anak semua bangsa diabad ini bahawa Batu Caves itu adalah sebahagian dari mitos Orang Asli. Sebelum Lord Murugan muncul di hadapan gua batu ini semangat dan roh Daruma dan Talang telah wujud dahulu.
Aku juga sedar dari Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka ini  meyakinkan aku  bahawa agama ini adalah sosial konstruk.  Tanggang  dan kapal batunya juga adalah sosial konstruk untuk mengingatkan kita agar tidak menderhaka kepada ibu bapa dan jangan sesekali melupakan asal usul diri.
Hanya satu yang aku mimpikan agar satu hari nanti  akan  dibina patung Daruma dan Talang segah dan setinggi Lord Murugan. Biarlah roh Daruma dan roh Talang sama-sama  mengajar  anak semua bangsa untuk hidup bersama dan tidak melupakan asal usul kita.