Desak kembalikan wang

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Desakan meminta supaya suspek utama iaitu peguam bergelar Datuk mengembalikan wang miliknya dipercayai menjadi punca jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersamanya dibunuh dengan kejam.
Akibat dihantui rasa tamak, suspek yang berusia 41 tahun itu dikatakan enggan memulangkan wang tersebut dan hilang sifat kemanusiaan sehingga tergamak membunuh keempat-empat mangsa.


Utusan Malaysia difahamkan, Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek dipulangkan.

Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.

Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, untuk menemaninya berjumpa dengan suspek.

Difahamkan, suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.

Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan oleh polis.
Setakat ini, Utusan Malaysia diberitahu, polis sudah pergi ke rumah dan pejabat suspek untuk melakukan siasatan terhadap dokumen yang dimilikinya termasuk beberapa buku cek yang ditemui di pejabat guamannya.
Syabas polis pantas selesaikan kes Sosilawati.


PEMBUNUHAN kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama peguam, pemandu dan seorang pegawai bank bukan sahaja menggemparkan seluruh rakyat Malaysia, malah tragedi malang itu telah mencemarkan kesucian bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Apa yang nyata, perbuatan yang tidak berhati perut itu dilarang dan dikutuk oleh semua agama di muka bumi ini. Sama ada ajaran Islam, Buddha, Hindu mahupun Kristian, kesemua agama mengajar pengikutnya kepada kebaikan, tidak menindas, tidak menghina, tidak mencela, apatah lagi sesuka hati mengambil nyawa orang lain.

Justeru, apabila pembunuhan kejam itu dilakukan menjelang umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri, tentu sekali ramai yang marah dan mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terbukti melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Nampaknya kemeriahan Syawal pada tahun ini dicemari dengan perbuatan manusia yang bertopengkan syaitan. Malah ada pembaca yang menghantar komen kepada akhbar ini berkata, syaitan pun tidak sanggup melakukan perbuatan sekejam itu.

Jika kita sebagai individu luar tidak sanggup membayangkan betapa azab keempat- empat mangsa dipukul sehingga mati dan kemudian dibakar sebelum abu mayat dibuang ke dalam sungai, apa pula yang dibayangkan oleh ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarga mangsa.

Memang ia satu episod yang cukup menyedihkan membayangkan anak-anak kecil menunggu kepulangan bapa mereka yang tidak kunjung tiba untuk menyambut lebaran bersama. Begitu juga anak-anak Sosilawati yang walaupun semuanya telah dewasa, namun mereka meraung dan menangis teresak-esak tatkala mendapat khabar mengenai nasib ibu mereka.
Tentu sekali setiap kali kedatangan Syawal pada tahun-tahun akan datang, ia hanya mengundang pilu kepada kesemua keluarga mangsa.

Dalam pada itu, sekalung tahniah diucapkan kepada pihak polis yang berjaya merungkai misteri kehilangan Sosilawati bersama tiga yang lain dalam masa hanya 10 hari. Laporan polis dibuat oleh keluarga Sosilawati mengenai kehilangannya pada 2 September, manakala pada 10 September, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan yang akhirnya membawa kepada tujuh tangkapan lain.

Pada 12 September pula, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan kes melibatkan Sosilawati selesai berikutan penangkapan tersebut.
Jika sebelum ini, ada pihak mendakwa pihak polis lambat bertindak dalam menyelesaikan setiap kes yang dilaporkan, tetapi kini terbukti bahawa pasukan polis kita mampu bertindak pantas dan cekap sebaik sahaja menerima laporan.

Kecekapan pihak polis itu diharap dapat membuka mata pihak tertentu agar tidak membuat tuduhan melulu sehingga menjejaskan kredibiliti dan imej pasukan polis negara ini.
Apa yang kita harapkan selepas ini adalah tindakan mendakwa dan menghukum mereka yang terlibat melakukan jenayah kejam itu dapat segera dilakukan.
Ia penting kerana nampaknya kemarahan orang ramai yang kesal kejadian itu berlaku dalam bulan Ramadan dapat dibendung dan tidak meletus sehingga menjadi satu isu perkauman pula.

Ini kerana komen-komen dalam laman sosial Facebook sudah mula membincangkan kes bunuh ini yang dikaitkan dengan perkauman. Harapan kita, dengan kebijaksanaan polis menangani kes tersebut, api kemarahan dapat dipadamkan demi keadilan keluarga mangsa. Takziah kepada keluarga mangsa dan al-Fatihah untuk keempat-empat mangsa.

Berikut di lampirkan maklumat suspek utama yang bole didapati di : Laman Web Badan  Peguam Malaysia

DALAM PERKARA AKTA UNDANG-UNDANG PROFESYEN 1976
PER : EN. PATHMANABHAN A/L NALLIANNEN (NO K/P : 690211-10-5525)
EN. SURENDREN A/L NALLIANNEN (NO K/P: 720801-10-5773)
EN. UMAR BAKI BIN ABDUL MAJID (NO K/P : 480805-08-5765)

NOTIS ADALAH DIBERIKAN bahawa Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam telah menjatuhkan perintah-perintah disiplin terhadap peguambela dan peguamcara yang dinamakan di bawah, berkuatkuasa 21 hari dari tarikh perintah-perintah tersebut.

Digantung dari amalan guaman selama satu (1) tahun menurut perintah bertarikh 9 Mac 2007 dan akan tamat pada 30 Mac 2008

En. Pathmanabhan a/l Nalliannen
En. Surendren a/l Nalliannen
Beramal di :
Tetuan Pathma Nalli & Partners
No. 198, Jalan Sultan Abdul Samad
42700 Banting
Selangor

Dibatal dari daftarai Peguambela dan Peguamcara menurut perintah bertarikh 9 Mac 2007

En Umar Baki Bin Abdul Majid
Dahulunya beramal di:
Tetuan Umar Baki & Co.
No. 3348, Tingkat 1
Jalan 18/32, Taman Sri Serdang
43300 Seri Kembangan
Selangor

Oleh yang demikian, mereka tidak layak untuk menjalankan amalan guaman mereka dan pihak Mahkamah, ahli-ahli Majlis Peguam dan pihak awam dinasihati mengambil perhatian tentang perkara ini.

Bertarikh : 31 Mac 2007

Lim Chee Wee
Setiausaha
Majlis Peguam