FOMCA Saran Botol Susu Juga Ada Tanda Keselamatan "MC"

 Anda pasti botol susu anak anda selamat?

Kerajaan disaran agar botol susu bayi  mempunyai tanda “MC” (Malaysian Conformity) sebagai bukti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan, kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman.
 
Saranan yang diajukan FOMCA adalah selari dengan tindakan kerajaan yang pernah dilakukan sebelum ini terhadap semua alat permainan kanak-kanak perlu mempunyai tanda “MC”, yang telah berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Tanda keselamatan "MC"
 “Apa yang kita harapkan yang dilakukan kerajaan, ialah botol-botol yang dijual di pasaran itu mestilah melalui pemeriksaan terlebih dahulu dan diberikan label mengatakan bahawa botol ini telah diperiksa dan didapati tidak mengandungi BPA,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini. Tambah Yusof lagi, para pengguna perlu bijak dan peka sebelum membeli botol susu dengan melihat label terlebih dahulu, supaya mereka tidak tersilap membeli botol susu yang mengandungi ‘Bisphenol A’ (BPA).

“Pengguna yang hendak membeli botol, dia akan melihat pada label tersebut, jadi kalau botol yang tidak ada label tersebut maka mereka jangan membeli, ini cara bagaimana pengguna untuk mengetahui samada botol itu ada BPA atau tidak,” katanya. Semalam Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan serta penggunaan susu botol bayi polikarbonat yang mengandungi ‘Bisphenol A’ (BPA) berkuat kuasa 1 Mac 2012.
 Lambakan botol susu di pasaran belum tentu selamat digunakan

Menurutnya, sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan

Tanda Keselamatan 'MC' Berkuat Kuasa 1 Februari 2011
 KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa 1 Febuari depan, semua alat permainan kanak-kanak perlu mempunyai tanda "MC" (Malaysian Conformity) sebagai bukti mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sehubungan itu, mulai tarikh berkenaan kementerian akan menyita semua alat permainan yang gagal mematuhi peraturan itu, kata Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe, hari ini.
Tan berkata ini kerana kementerian memandang serius terhadap kebanjiran alat permainan yang gagal memenuhi garis panduan berkenaan, yang berupaya mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

Katanya penguatkuasaan itu tidak terhad kepada alat permainan keluaran tempatan tetapi juga meliputi yang diimport.

"Kita tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini kerana sudah beri masa yang panjang lebih satu tahun untuk pihak pengilang dan pengimport mematuhi standard keselamatan mainan kanak-kanak dengan perlunya ada tanda MC di setiap alat permainan berkenaan.

"Jadi pada 1 Februari depan, alat-alat permainan "on the shelves" akan disita sekiranya tidak mempunyai tanda MC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Barang Pengguna 2010 di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun melalui Seksyen 25, Akta 599 bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna, di mana bagi individu denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Sementara bagi pertubuhan, katanya akan dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Seramai 100 peserta terdiri daripada pengilang, pengimport, pengedar dan peruncit menyertai bengkel sehari itu yang bertujuan membincangkan mengenai pembangunan regim keselamatan barang pengguna khususnya mekanisme penarikan balik barang serta tindakan pembetulan bagi barang yang mengalami kecacatan atau tidak selamat di pasaran.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata pihak kementerian akan mengkaji semula kelonggaran yang diberikan kepada rakyat Malaysia di sempadan yang menggunakan kereta pendaftaran asing untuk membeli minyak Ron 95 dengan menggunakan MyKad, kerana didapati ada yang telah menyalahgunakan keistimewaan tersebut dengan menjualnya kepada pihak luar.

"Memang ada laporan rakyat negara ini yang menyalahgunakan MyKad untuk beli Ron 95 dan jual kepada pihak asing, kementerian memandang serius akan perkara ini dan kami kesal kerana ada pihak cuba menyalahgunakan keistimewaan diberikan kerajaan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment