Projek Mini TAPI Budget Mega : RM3.5 Juta meningkat RM36 Juta

 Majlis Pecah Tanah Veledrom Mini Dungun 2009

Lapor Kosmo hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said amat terkejut dengan peningkatan kos terlalu ketara pembinaan velodrom mini di Dungun, Terengganu sehingga mencecah RM36 juta iaitu 12 kali ganda daripada kos sepatutnya sebanyak 3.5 juta.

Ahmad juga pelik bagaimana kos pembinaan kemudahan sukan itu boleh melonjak begitu ketara dan menyifatkan ia tidak rasional dan perlu diteliti semula kerana perbezaan daripada kos asal yang sangat ketara.

Sambil menegaskan supaya kos pembinaan velodrom tersebut mengikut ketetapan asal, Ahmad mahu pihak yang terbabit, terutamanya Jabatan Kerja Raya supaya mengkaji semula tentang perkara itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

“Memang saya terkejut... sebab itu saya mahu ia dikaji semula,” kata Ahmad di Kuala Terengganu kelmarin.

Sebelum ini, kos asal pembinaan velodrom mini yang dicadangkan Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negara (MSN) dianggarkan sekitar RM3.5 juta.

Ahmad menambah, pihaknya menyerahkan kepada JKR untuk menetapkan pelan atau reka bentuk velodrom mini itu agar bersesuaian dengan jumlah kos seperti mana perancangan asal.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong turut menyifatkan kos projek tersebut amat tinggi.

“Kos pembinaan velodrom mini itu amat tinggi memandangkan kita hanya mahu membina sebuah velodrom biasa untuk dijadikan pusat latihan serta venue pertandingan peringkat tempatan,” katanya.

Dalam hal demikian, tak mustahil pembinaan velodrom mini berkenaan ada unsur-unsur rasuah. SPRM tidak boleh berdiam diri dan diminta siasat segera agar pihak-pihak tidak bertanggungjawab tidak sesuka hati melonjakkan kos sesuatu projek demi keuntungan kantong peribadi orang-orang tertentu.

No comments:

Post a Comment