LONDON, 12 April – Transeksual warga Malaysia, Fatine yang pada hujung 2009 mendapat perhatian ekoran laporan media bahawa kemungkinan dikenakan tindakan imigresen, telah berpisah dengan suaminya selepas dua minggu memperoleh visa untuk tinggal di United Kingdom, lapor media hari ini.
Laporan The Daily Mail menyebut, suaminya Ian Young mendakwa telah menghabiskan sekitar £12,000 (hampir RM60,000) untuk mendapatkan visa bagi Fatine, yang nama asalnya Mohammed Fazdil Min Bahari. Pada Disember 2009, Fatine mendakwa dia kemungkinan akan dikenakan hukuman penjara jika balik ke Malaysia yang melarang amalan homoseks.
Young, 32, mendakwa cintanya dengan Fatine juga menyebabkan dia kehilangan kerja sebagai penjaga di tiga sekolah ekoran kemarahan beberapa ibu bapa. Kata Young, selepas dua minggu memperoleh visa Fatine telah meninggalkannya. Fatine kini tinggal di Manchester. Ekoran tindakan isterinya itu, Young berkata, dia yang rasa tertekan cuba membunuh diri dengan mengambil pil dan kini cuba untuk membina semula hidupnya selepas hilang kerja dan tiada rumah untuk tinggal.
Katanya: “Saya menggunakan setiap sen (untuk Fatine) dan saya sudah kehilangan segala-galanya, saya sudah kehilangan rumah dan akhirnya saya hilang isteri saya.” “Merenung (apa yang berlaku), (saya merasakan) dia menggunakan saya untuk mendapatkan visa,” katanya dipetik The Daily Mail. “Saya merasakan saya seolah-olah seorang bodoh. Saya sepatutnya menikmati hidup paling menggembirakan dalam hidup saya. Sekarang dia tidak bercakap dengan saya, dan dia tidak akan dapat perceraian,” katanya lagi.
Laporan akhir 2009 juga menyebut Fatine berhadapan dengan kemungkinan dikenakan tindakan imigresen Malaysia. Menurut laporan ketika itu, Fatine menghadapi tindakan dihantar pulang ke Malaysia selepas permohonannya untuk mendapatkan visa ‘Leave to Remain’ ditolak oleh Pejabat Dalam Negeri ekoran lampiran gambar yang “salah”. Fatine juga mendakwa rasa takut untuk pulang ke Malaysia ekoran reaksi negatif yang timbul daripada tanggapan salah berhubung perkahwinannya dengan seorang warga British.
Dia telah “berkahwin” dengan Young, pemilik syarikat penyelenggaraan hartanah ketika itu dalam satu upacara sivil Mei 2009. Kedua-dua mereka berkenalan di Kuala Lumpur lima tahun lalu. Young berkenalan dengan Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Ogos 2006 ketika dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia.
Fatine mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun. Jurusolek itu dilaporkan tidak mahu melakukan pembedahan penukaran jantina kerana takut pada risiko di samping gembira dengan keadaan dirinya yang sedia ada. Pada Disember 2008, Young membawa Fatine ke Britain dengan menggunakan visa pelawat tetapi tinggal di negara itu melebihi tempoh enam bulan.
Fatine sebelum ini memberitahu dia telah menerima banyak emel dan komen orang ramai yang mengkritik sambil menuduhnya telah menghina kerajaan Malaysia. Fatine juga kesal kerana orang ramai tidak memahami tujuannya datang ke United Kingdom adalah semata-mata untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya. Fatine menambah dia tidak boleh berbuat demikian di Malaysia kerana masyarakat mengkaitkan perkahwinan mereka dengan isu agama. Malah, Fatine berkata dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas keluarganya juga telah memutuskan hubungan dengan dia.
No comments:
Post a Comment