EKORAN mengalami masalah kecederaan di bahagian otot perut kiri, bintang sensasi China, Lin Dan terpaksa menarik diri pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pengadil Kejohanan, Jane Wheatley dari Australia."Ketika Lin Dan menjalani sesi pemanas badan pagi tadi (semalam) dia telah mengalami kecederaan pada otot perut kirinya," kata Jane.
Jelas Jane lagi, selepas Lin Dan menjalani pemeriksaan, doktor yang merawatnya, Dr. Khairulina Khalid dari Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan agar pemain itu tidak meneruskan perlawanan."Doktor menasihatkan agar Lin Dan berehat kerana khuatir kecederaannya itu akan bertambah serius sekiranya tetap meneruskan perlawanan.
"Menerusi laporan doktor itu juga ada mengatakan bahawa Lin Dan tidak cergas sepenuhnya untuk meneruskan perlawanan suku akhir hari ini (semalam)," jelas Jane.
Dengan keputusan tersebut, seorang lagi pemain China, Chen Long yang dijadual berdepan Lin Dan pada aksi suku akhir itu, diberikan kemenangan percuma dan sekaligus mara ke peringkat separuh akhir.Pada aksi separuh akhir hari ini, Chen Long dijadual akan berdepan cabaran daripada perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Dalam pada itu, jurulatih perseorangan China, Xia Xuanze mengesahkan bahawa Lin Dan akan tetap beraksi pada Kejohanan Siri Super Korea Selatan yang bermula Selasa ini.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada perkembangan terkini mengenai tahap kecederaan yang dialami Lin Dan itu.
Taufik Hidayat BEGANG !
Jaguh Indonesia, Taufik Hidayat menuntut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil tindakan terhadap pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2008 kerana sengaja menarik diri daripada Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung.
“Saya mahu BWF mengambil tindakan terhadap Lin Dan kerana ini kali ketiga dia menarik diri. Dia langsung tidak menunjukkan rasa hormat terhadap kejohanan,” kata Taufik yang begitu marah ketika ditemui selepas menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago. “Dia sering memberi kemenangan percuma setiap kali berdepan rakan senegara.” Semalam, Lin Dan sekali lagi membuat keputusan menarik diri sekali gus menafikan pertemuan menentang Datuk Lee Chong Wei di separuh akhir, hari ini.
Selepas perlawanan antara beregu lelaki Zakry Latif-Hoon Thien How menentang pasangan Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato, pengadil perlawanan membuat pengumuman penarikan diri Lin Dan, sekali gus memberi kemenangan percuma kepada rakan senegara, Chen Long.
Ketua pengadil Terbuka Malaysia, Jane Wheatley dari Australia berkata, Lin Dan mengalami kecederaan sewaktu latihan sesi pagi.
“China mendakwa kecederaan lama Lin Dan berulang, kejang otot abdomen kiri ketika menjalani latihan,” kata Jane. “Doktor perubatan, Dr Khairulina Khalid dari Institut Sukan Negara (ISN) menulis surat kepada saya mengesahkan Lin Dan benar-benar mengalami kecederaan dan menasihatkan pemain itu tidak meneruskan aksi kerana bimbang memburukkan lagi kecederaan.” Jane turut menunjukkan surat pengesahan yang dihantar Dr Khairulina. Agak pelik Lin Dan dikatakan mengalami kecederaan sewaktu menjalani latihan pagi semalam kerana kelibat pemain China langsung tidak kelihatan di Stadium Putra pada waktu mereka dijadualkan berlatih.
Sementara itu, jurulatih Lin Dan, Xia Xuanze mengesahkan Lin Dan tetap akan mengambil bahagian di Siri Super Premier Terbuka Korea minggu depan.
Tahun lalu, di Terbuka China, Lin Dan turut memberi kemenangan percuma kepada Chen Long dan selepas itu dia melakukan perkara sama ketika memberi laluan kepada pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh ke separuh akhir sewaktu menentang Chong Wei.
Helah Lin Dan ini nampaknya serampang dua mata. Pertama cuba mengelak dari bertemu Chong Wei dengan lebih kerap, dalam masa sama cuba menaikkan ranking pemain China lain untuk mencari kedudukan selesa di Kejohanan Dunia.
Ketika ini, Chong Wei, Taufik dan Peter Gade (Denmark) berada di tiga kedudukan teratas ranking dunia, manakala Chen Long dan Lin Dan keempat dan kelima.
Dato' Lee Chong Wei KECEWA !
ADA reaksi kecewa daripada wajah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.Puncanya, dia tidak berpeluang berdepan bintang sensasi China, Lin Dan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini. Pada awalnya, pemain ranking No. 1 dunia itu diramal akan turun menentang Lin Dan yang juga merupakan musuh tradisinya pada aksi separuh akhir.
Namun, segala-galanya berubah selepas jaguh dari Tembok Besar China itu membuat keputusan untuk menarik diri daripada beraksi pada peringkat suku akhir semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan seorang lagi pemain China, Chen Long yang dijadual berdepan Lin Dan pada aksi suku akhir itu, diberikan kemenangan percuma sekali gus mara ke peringkat separuh akhir. Ini bermakna, bukan Lin Dan yang menjadi lawan Chong Wei pada aksi separuh akhir tetapi Chen Long.
"Saya terkejut dengan keputusan Lin Dan itu tetapi semuanya sudah berlalu. Memang pertemuan ini akan menjadi perlawanan tumpuan serta dinanti-nantikan. Namun, apa boleh buat dia (Lin Dan) telah menarik diri selepas dikatakan mengalami masalah kecederaan," kata Chong Wei.
Terdahulu, Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan ke atas pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16 pada aksi suku akhir. Mengulas mengenai pertemuannya dengan Chen Long, Chong Wei berkata: "Chen Long merupakan pemain yang agresif.
"Jadi... saya perlu lebih berhati-hati dengan corak permainannya. Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai Chen Long kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah prestasi diri saya sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment