KUALA LUMPUR: Golongan lelaki tidak seharusnya terlalu mudah mempercayai kekasih mereka, sebaliknya perlu menyiasat peribadi dan latar belakang wanita terbabit terlebih dulu sebelum menjadikannya sebagai pasangan hidup, bagi mengelak timbul masalah di kemudian hari. Perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, lelaki pada zaman ini perlu berhati-hati dalam memilih pasangan hidup selain memberi keutamaan kepada akhlak serta agama pasangan mereka apabila memilih isteri.
Beliau berkata, golongan lelaki juga tidak seharusnya memandang harta atau pangkat wanita itu bagi menjadikannya pasangan hidup kerana mereka mungkin tertipu oleh wanita licik yang suka mengambil kesempatan. “Selalunya orang menganggap wanita sebagai golongan yang sopan dan patuh, menyebabkan ada wanita licik yang mengambil kesempatan terhadap kepercayaan orang padanya untuk melakukan perbuatan menipu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau merujuk laporan Harian Metro semalam mengenai perbuatan seorang wanita tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Nazatul, 29, dengan mendakwa dirinya kerabat diraja, berkahwin sebanyak tujuh kali semata-mata untuk menipu wang setiap mangsanya.
Terbaru, wanita itu berkahwin dengan seorang ahli perniagaan warga Palestin, Alaa A M Aldunna, 32, yang mendakwa dia kerugian hampir RM1 juta selepas berkahwin dengan wanita itu November lalu sebelum wanita itu menghilangkan diri bersama dua cek yang dicuri. Lebih mengejutkan, Alaa mendakwa dia mendapat tahu rupa-rupanya dia adalah suami yang ketujuh manakala enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu.
Md Izuddin berkata, wanita berkenaan sebenarnya ‘bermain dengan api’ apabila terus-terusan menipu lelaki yang dikahwininya kerana kemungkinan satu hari nanti ia bertemu dengan lelaki yang tidak ragu-ragu menyerangnya sekiranya hilang sabar ditipu.
Katanya, wanita berkenaan perlu sedar kesan daripada perbuatan yang dilakukannya bukan saja terhadap mangsa tetapi pada diri sendiri, bukan sekadar berfikiran singkat ia memperoleh wang yang banyak daripada perbuatannya itu.
“Wanita itu perlu sedar balasan untuk perbuatannya bukan saja ada di dunia, malahan di akhirat kelak,” katanya.
No comments:
Post a Comment