Sebuah Renungan Untuk Si Bangsa Bergelar Melayu

Sebuah renungan, sindiran dan harapan dari seorang Rakyat Malaysia yang situjukan khas untuk Bangsa Melayu. Baca, fikir, taksirla dengan bija akal mu......
(dipetik dari http://singalautmetro.blogspot.com/)




KEBETULAN atau apa, entahlah. MALAYSIA itu gabungan dua perkataan iaitu MALAY DAN SIA. Malay dalam bahasa Inggeris bermakna MELAYU dan Sia pula bermakna RUGI. Kombinasinya menjadi Malaysia itu sebagai Melayurugi!

Mungkin dulu kita tak terfikir, tetapi melihat keadaan sekarang barulah kita merenung. Mungkinkah ada yang tersirat sejak dulu-dulu. Mahu dibuka sejarah, takut luka lama berdarah. Mungkin boleh tanya Wikileaks sebagai cara mudah.


Tahun berlalu, orang Melayu terus memapah kehidupan dengan cara lama. Mengendong kekayaan mereka, iaitu kemiskinan dalam karung patuh dan tunduk, akur dan ikut!


Semakin banyak penempatan untuk orang Melayu akan dibuka di kaki gunung, di hutan rimba. Di situ kehidupan orang Melayu nampaknya akan bermula dan berakhir. Di pinggiran!


Ketika zaman semakin jauh ke depan ketika gelak pemimpin semakin lebar, orang Melayu tercatat dalam buku Guniness Book of Record sebagai bangsa paling sabar. Dengan ungkapan paling mahal iaitu TIDAK APA dan APA NAMA, bangsa Melayu pasti kekal sebagai bangsa yang dikenang orang sebagai bangsa yang tidak kisah tentang penderitaan dan kesengsaraan hidup.


Cukuplah ketika bangsa lain naik ke bulan, bangsa Melayu naik eskalator di pasaraya bukan miliknya, atau naik turun gelungsur pusing di kedai fanfare juga bukan miliknya. Bagi Melayu barangkali naik eskalator itu sudah cukup tinggi dan membuka mata melihat senatero dunia. Melayu tak perlu ke bulan untuk melihat bumi, lagipun pepatah Melayu selalu mengingatkan kalau melihat ke langit, jangan lupa melihat ke bumi!


Kini satu lagi tahun akan berakhir. 2011 akan menjelma dan menghulurkan tangannya khusus kepada orang Melayu. 2010, 2009 dan tahun-tahun sebelumnya telah pergi dan meninggalkan orang Melayu dalam keadaan tidak apa dan tiada apa-apa. 2011 juga akan mengikut jejak tahun-tahun sebelumnya. Percayalah, walaupun akan datang seribu janji bulan dan bintang untuk orang Melayu. Inilah realiti hidup Melayu, ada tak ganggu tak ada lagilah baik agaknya!


Hujung tahun ini ada baiklah juga kita mengunjungi pusara pemimpin Melayu yang pernah memperjuangkan sebuah negara bernama MALAYSIA atau dalam sinis nakalnya MELAYURUGI. Kita hadiahkan al-fatihah tapi janganlah kita sebak dan tersedu mengadu keadaan hidup cucu-cucu pahlawan yang telah kembali itu. Jangan kita ceritakan tentang kemelaratan anak-cucu Melayu yang melarat ini di atas pusara pejuang Melayu dulu-dulu. Jangan seksa roh mereka dengan tangisan kita. Kalau mahu menangis, marilah kita orang Melayu pergi ke balik bukit atau di belakang tembok bangunan tinggi bukan milik kita dan kita renjis air mata di situ semahunya!


Selamat datang 2011, selamat jalan 2010. 2010 membawa darah dan air mata orang Melayu, 2011 bakal menakung dukacita dan kesedihan orang Melayu. Sebenarnya tiada apa-apa yang bermakna bagi tahun baru daam hidup orang Melayu. Berikrarlah, berjanjilah, bercita-citalah! Orang Melayu tetap duduk di sini menumpang menghirup udara percuma diberikan Tuhan, kemudian pergi dan beranak cucu, kemudian pergi dan hilang. Itulah putaran hidup kita di dalam hidup merdeka! Sedih hiba dan sayu melihat dan mengenang Melayu. Syukur aku tidak pernah malu-malu menjadi Melayu!

No comments:

Post a Comment