Pentagon Mungkin Edar Video Jenazah Osama Disemadi Di Laut

Upacara penyemadian jenazah pengasas dan ketua rangkaian Osama bin Laden ada dirakamkan dan kemungkinan akan dikeluarkan dalam waktu terdekat, demikian menurut pegawai-pegawai Pentagon. Pegawai-pegawai itu berkata foto jenazah sebelum ia dilepaskan di utara Laut Arab semalam kemungkinan diedarkan.

Laporan AP menyebut tidak jelas sama ada pertempuran antara pasukan elit AS dan pengawal keselamatan Osama juga dirakamkan.Ketua unit antikeganasan White House John Brennan berkata, pentadbiran Obama masih membincangkan idea melepaskan bahan-bahan berkenaan.

“Kami akan melakukan setiap yang boleh untuk memastikan tiada sesiapa pun ada asas untuk menafikan bahawa kami telah menangkap Osama bin Laden,” kata Brennan.
Dipetik laporan msn, kata beliau, AS akan “berkongsi apa yang kami ada kerana kami mahu memastikan bukan sahaja rakyat Amerika tetapi dunia faham apa sebenarnya yang berlaku.”
Langkah melepaskan rakaman kemungkinan akan memuaskan mereka yang meragui sama ada Osama sudah terbunuh ataupun sebaliknya.

Osama terbunuh dalam serangan AS di timur laut Pakistan awal pagi semalam (waktu Malaysia). “Kerja-kerja penyemadian jenazah Osama bermula sekitar 1.10 pagi (waktu EST) dan berakhir 2 pagi (waktu EST),” kata pegawai terbabit. “Upacara pengebumian tradisi Islam telah diikuti,” katanya.

Laporan NBC News memetik pegawai itu berkata, upacara itu mengambil langkah-langkah berikut:

- Jenazah diletakkan dalam beg tekanan khas
- Seorang anggota tentera membacakan ayat suci yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab
- Selepas selesai bacakan ayat suci, jenazah diletakkan pada papan datar, dibalut, dan kemudian dilepaskan ke laut dari USS Carl Vinson.

Bagaimanapun upacara itu menimbulkan debat di mana beberapa ulama menyifatkannya sebagai perbuatan yang menghina agama Islam manakala ada yang mengatakan ia sebagai betul.

No comments:

Post a Comment