Kerajaan Benarkan BERSIH 3.0 Berlansung



Kerajaan tiada masalah membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 dilangsungkan seperti dirancang selagi penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2011 dan tidak menimbulkan sebarang gangguan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, atas semangat akta yang baru digubal itu, kerajaan tidak akan melarangnya.Ditanya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Hishammuddin berkata kumpulan itu boleh berhimpun tetapi tidak boleh menyusahkan orang awam atau menjejas ketenteraman awam.

Ditanya sekiranya penganjur boleh menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan, Hishammuddin bagaimanapun tidak memberikan jawapan jelas. Sebaliknya, beliau berkata penganjur perlu berbincang dengan polis dan mencari lokasi lain supaya tidak menjejaskan orang awam.

Penganjur perhimpunan itu, BERSIH 2.0, sebelum ini mengumumkan bahawa perhimpunan berkenaan akan dijalankan selama dua jam bermula jam 2 petang pada 28 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perhimpunan dengan tema "Duduk Bantah" itu juga akan diadakan serentak di lokasi tertentu seluruh negara dan negara lain.

Perhimpunan berkenaan juga akan disertai oleh Himpunan Hijau – perhimpunan untuk membantah loji nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang.

Qarin Pendamping Manusia



Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”
Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

Nasi Hujan Panas Kena Kebas Dek Pemimpin



GEORGETWOWN: “Saya dan isteri terpaksa menanggung malu kepada rombongan pengantin perempuan yang tiba dari Terengganu, penduduk kampung serta jemputan,” kata Md Saad Hasan, 68, mengulas tindakan seorang lelaki yang dikatakan pemimpin parti pembangkang, melarikan satu periuk nasi majlis kenduri kahwin dua anak lelakinya di Kampung Pulau Betong, di sini, 4 Mac lalu.

Menurutnya, hingga kini penduduk kampung masih bercakap mengenai kegagalannya menyediakan sajian istimewa iaitu nasi hujan panas yang sepatutnya dihidangkan untuk rombongan keluarga pengantin perempuan yang tiba dengan sebuah bas.


Md Saad berkata, dia kesal dan kecewa dengan tindakan pemimpin parti pembangkang Kampung Terang yang sanggup melarikan periuk nasi ketika majlis kenduri itu tanpa berjumpa dengannya terlebih dulu.

“Saya difahamkan, mereka mengambil nasi terbabit untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang untuk satu program anjuran kerajaan negeri di kampung ini. “Mereka melarikan periuk berisi nasi itu menggunakan sebuah lori yang siap menunggu,” katanya yang ditemui di sini, semalam. Warga emas itu berkata, ketika itu dia bersama isteri dan ahli keluarga lain sibuk melayan tetamu apabila dimaklumkan tukang masak bahawa satu periuk nasi dilarikan lelaki berkenaan.

“Keadaan menjadi kelam kabut dan saya serta isteri bergegas ke dapur. Keadaan menjadi kecoh kerana tiada nasi boleh diganti untuk dihidangkan kepada tetamu. “Ketika itu juga rombongan keluarga pengantin perempuan terdiri daripada 50 orang tiba dengan sebuah bas dan saya kecewa apabila mereka terpaksa pulang dalam keadaan lapar,” katanya. “Sikap pemimpin parti itu menunjukkan dia hanya mementingkan diri tanpa memikirkan perasaan orang lain menyebabkan majlis kenduri yang dirancang dengan baik menjadi kelam kabut,” katanya.


Menurutnya, dia kemudian bertemu dengan pemimpin berkenaan untuk meminta kepastian berhubung tindakannya melarikan periuk nasi itu. “Ketika bertemu dengannya, dia meminta maaf dan mengakui kesalahannya kerana mendakwa nasi yang dimasak di lokasi mereka melakukan program ketika itu mentah, biarpun sudah dua kali masak. “Dia mendakwa terpaksa mengambil nasi di rumah saya untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan lancar,” katanya.



Md Saad yang tidak berpuas hati dan rasa dirinya dimalukan pemimpin berkenaan membuat laporan di Balai Polis Balik Pulau, kelmarin.

Senarai Ranking Universiti di Malaysia



  1. 428 Universiti Putra Malaysia (UPM)
  2. 437 Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  3. 464 Universiti Sains Malaysia (USM)
  4. 523 Universiti Kebangsaan Malaysia / National University of Malaysia (UKM)
  5. 596 Universiti Malaya – Universiti Malaya (UM)
  6. 626 Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  7. 891 Multimedia Universiti (MMU)
  8. 1222 Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  9. 1341 Universiti Malaysia Perlis (Unimap)
  10. 1411 Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
  11. 1598 Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  12. 1687 Universiti Tenaga Nasional (Uniten)
  13. 1734 Universiti Utara Malaysia (UUM)
  14. 1777 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
  15. 1838 Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  16. 1842 Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
  17. 2127 Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  18. 2185 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  19. 2439 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  20. 2726 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  21. 2922 Open University Malaysia (OUM)
  22. 3980 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem)
  23. 4083 International Medical University
  24. 4232 Taylor’s University College
  25. 4481 Tunku Abdul Rahman College
  26. 4566 Universiti Pertahanan Malaysia (UPN)
  27. 4644 University of Nottingham Malaysia
  28. 4852 UCSI University
  29. 4977 Monash University Malaysia
  30. 5012 Malaysia Theological Seminary
  31. 5074 Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  32. 5931 Curtin University of Technology Sarawak Campus
  33. 5931 Universiti Industri Selangor
  34. 6045 Selangor International Islamic University College
  35. 6075 Al Madinah International University
  36. 6163 Wawasan Open University
  37. 6343 Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR)
  38. 6482 KDU College
  39. 6607 Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  40. 6642 Asia Pacific Institute of Information Technology
  41. 6978 Help University College
  42. 7018 Sunway University College
  43. 7031 INSANIAH University College
  44. 7320 Universiti Sultan Zainal Abidin (Universiti Darul Iman Malaysia)
  45. 7361 Segi College
  46. 8058 Malaysian Institute of Management

SI TANGGANG DAN BATU CAVES


Mula-mula aku hanya mendengar kisah Si Tanggang ini dari arwah Nenek. Ketika itu aku masih belum ke sekolah lagi.  Nenek  aku selalu membuka cerita ketika hendak  tidur.  Ini dizaman sebelum radio dan tv.  Cerita dari Nenek  ini menjadi penglipur lara untuk membawa ngantuk.  Macam-macam cerita yang aku dengar. Ada kisah Tuan Puteri, kisah Anak Raja, kisah Gergasi — macam—macam kisah.  Ada kisah yang berulang kali aku dengar. Tidak muak-muak. Macam filem klasik Casablanca yang selalu diulang tayang.
Rumah kami jauh di pedalaman — di hulu kampung. Kerana duduk di hulu kampung  menjadikan aku tidak hairan dengan kisah Orang Asli ini.  Di akhir kampung kami ialah perkampungan Orang Asli.  Aku selalu ternampak Orang Asli. Malah mengikut surah Nenek -  bezanya keluarga kami dengan Orang Asli hanyalah yang kami telah menerima Muhamad sebagai Penghulu. Orang Asli tidak memerlukan Tok Penghulu dari negara Arab. Orang Asli telah ada Tok Batin mereka sendiri.
Si Tanggang  adalah cerita anak  Orang Asli. Ketika aku mendengar surah Si Tanggang ini dari arwah Nenek,  aku tidak sedar tentang metapora yang ingin disampaikan.  Aku tidak faham apa makna Si Tanggang ini. Apa yang menarik hati aku hanyalah Si Tanggang ini suka makan cikah panggang dan suka makan pisang salai. Nampaknya Si Tanggang ini memiliki selera yang tidak  jauh dari selera aku. Aku pun suka pisang salai tetapi aku belum ada peluang untuk menikmati cikah panggang.
Kemudian bila aku masuk  bersekolah dan mula pandai membaca  aku telah bertemu dengan kitab  Hikayat Si Tanggang. Aku rasa kitab ini aku baca ketika aku dalam darjah tiga. Hikayat ini cukup menarik hati aku.  Malah hikayat ini lebih tepat dan panjang dari apa yang disurahkan oleh Nenek.
Paling menakjubkan untuk aku ialah gambar-gambar yang tertera dalam kitab ini.  Untuk aku kitab ini bukan hanya  sebuah hikayat   malah ada  gambar sebagai bahan bukti.  Sampai ke hari ini aku masih  ingat dengan jelas gambar lelehan darah  Deruma -  ibu Tenggang -  yang  tangannya di ketuk oleh Si Tanggang kerana cuba naik ke atas kapal.  Gambar bilik-bilik gelap  amat meyakinkan  aku bahawa apa yang aku baca adalah fakta.
Gambar kapal Nakhoda Tanggang yang terbalik  ada juga dalam kitab tulisan A.Samad Ahmad ini. Malah gambar Sang Pengarang yang membawa lampu minyak menyelidik kapal Si Tenggang ini  menjadikan aku cukup terigin untuk melihat sendiri  kapal Si Tanggang ini. Bayangkan anak kecil darjah tiga membaca Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka - pastilah aku cukup terpengaruh.  Malah ketika itu aku cukup yakin bahawa Batu Caves itu ialah kapal Nakhoda Tanggang yang telah disumpah menjadi batu.
Aku juga cukup yakin bahawa  manusia yang bernama Tanggang ini wujud. Aku amat yakin semua gambar-gambar  dalam kitab  A.Samad Ahmad ini adalah bahan bukti yang tidak dapat dipertikaikan — walau pun pada ketika itu agak susah juga imajinasi  aku untuk menghazam gua batu itu sebagai  bilik tidur Si Tanggang.
Dua kali aku khatam kitab ini. Aku menjadi  bangga kerana boleh bercerita dengan kawan-kawan tentang asal  usul Batu Caves. Sayangnya ketika itu keluarga aku  duduk di Jelebu dan untuk ke Batu Caves pada tahun  1959 adalah satu yang mustahil.
Aku bernasib baik kerana pada tahun 1960 ada rombongan orang-orang kampung aku melawat Kuala Lumpur. Ketika itu bukan senang untuk datang ke Kuala Lumpur walau pun hanya 70 batu dari Jelebu.  Dengan cara membuat rombongan  kami  orang kampung dapat berkongsi menyewa bas untuk melihat Kuala Lumpur.
Melawat Kuala Lumpur adalah mimpi  dan angan-angan berahi untuk anak sekolah seperti aku. Antara tempat yang  dilawati ialah Bangunan Utusan Melayu,  Bangunan Dewan Bahasa, Bangunan Parlimen dan Lake Garden untuk berehat dan membuka bekalan untuk makan tengah hari.   Sebelah petang kami akan  pergi ke Batu Caves — tempat Si Tanggang.
Sebenarnya aku tidak tahu letak duduk tempat-tempat yang ingin aku lawati ini. Kuala Lumpur bagitu besar dan amat asing untuk aku. Di wilayah mana letaknya Batu Caves tidak aku ketahui langsung. Pemandu bas kami dari Jelebu berhenti tiga kali untuk bertanyakan arah jalan ke Batu Caves.
Akhirnya petang itu aku sampai ke Batu Caves. Aduh!  Aku mendongak dan ternampak tangga batu yang tinggi  yang mengarah hilang ke dalam  ke mulut gua batu. Ketika itu aku terfikir besar sungguh  kapal Nakhoda Tenggang itu. Aku merasa bagitu gembira akhirnya niat dan cita-cita untuk melihat kapal Si Tenngang  termakbul.
Aku memanjat dan cuba mengira anak tangga. Sampai setengah jalan kiraan aku bersimpang-siur.  Akhirnya kiraan aku hilang kerana kepala aku sering berimajinasi tentang  Si Tanggang. Di tepi tangga kelihatan hutan dan belukar yang meliar.  Imijinasi aku agak susah untuk mengkahwinkan hutan belukar ini dengan laut dan kapal Nakhoda Tenggang.
Agak lengoh juga kaki aku memanjat tangga.  Akhirnya aku sampai ke mulut gua batu. Diatasnya lopong.  Aku agak kecewa kerana aku amat berharap  akan bertemu dengan puluhan anak-anak kapal yang telah menjadi batu. Sekurang-kurangnya rangka-rangka batu yang menyerupai manusia. Semuanya tidak ada.
Aku bersiar mencari sesuatu untuk menguat  dan membuktikan bahawa Nakhoda Tanggang ini wujud dan aku sedang berada dalam perut kapalnya. Apa yang aku lihat  dalam Batu Caves pada tahun 1960 hanyakah gua kosong yang luas. Diatas  gua ini terbuka lubang  luas  yang membawa masuk  cahaya yang menerangi sebahagian dari gua ini.  Aku ternampak  kelawar berterbangan dan menghilangkan diri ke dalam gua.
Aku berjalan ke dalam gua yang agak gelap ini  lalu aku ternampak patung yang  aku amat pasti bukan patung anak-anak kapal  Nakhoda Tenggang tetapi patung Hindu. Aku tidak mungkin silap kerana patung serupa ini  pernah aku lihat dalam kuil Hindu di Kuala Klawang. Baru aku sedar bahawa orang India beragama Hindu telah menggunakan gua ini untuk bersembahyang.
Ketika aku meninggalkan mulut gua itu aku merasakan alangkah baik jika aku membawa lampu picit. Dengan lampu ini aku boleh masuk  menjelajah  jauh ke dalam gua batu ini. Besar kemungkinan aku akan bertemu dengan apa yang telah ditemui dan ditulis oleh  oleh A.Samad Ahmad dalam bukunya Si Tanggang Anak Derhaka.
Aku manapak turun. Dan kali ini aku terperanjat besar kerana  di sebelah kanan berhampiran dengan tangga pertama ada sebatang pokok mangga. Kewujudan pokok mangga ini tidak aku sedari ketika aku mula menaiki tangga. Melihat pokok mangga ini  -  aku teringat dibabak akhir  Daruma ibu Si Tanggang telah datang membawa cikah panggang, pisang salai dan sebiji mangga ranum. Semua ini adalah makanan  kesukaan Si Tenggang. Si Ibu ingin mengembalikan ingatan anaknya yang telah melupakan asal usulnya.
Apabila Sang Ibu ingin naik ke atas kapal Si Tanggang  telah memukul tangan ibunya. Tanggang merasa malu dihadapan isterinya. Dia tidak mahu diketahui  yang dia berasal usul dari Orang Asli. Dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Si Tanggang  telah berkahwin dengan gadis Melayu anak seorang saudagar.  Kini Tanggang  bukan lagi anak sakai tetapi telah menjadi Melayu dan  seorang Nakhoda.
Ketika Tanggang memukul tangan ibunya maka tercampaklah buah mangga itu ke tebing sungai. Ketika ini juga Talang, ayah Si Tanggang, membibit tangan isterinya  untuk mengundur.  Apabila mereka di tebing  sungai Sang Ibu telah berdoa dan menyumpah anaknya yang derhaka. Ketika ini ribut dan taufan sampai dan kapal Si Tanggang terbalik lalu menjadi batu.
Buah mangga yang tercampak itu akhirnya tumbuh dan membesar. Pokok mangga ini adalah imej akhir yang aku teringat tentang Batu Caves 50 tahun dahulu. Pada petang itu aku meninggalkan Batu Caves dengan penuh kesedaran untuk tidak akan merasa malu akan asal usul aku dari darah Biduanda yang juga Orang Asli.
Hari ini aku tidak tahu bila bermulanya  kapal batu Si Tanggang beralih  menjadi tempat suci agama Hindu. Aku juga tidak tahu bagaimana kapal Si Tanggang ini beralih tangan untuk menjadi  apa yang kita lihat hari ini. Hari ini aku ternampak bahawa telah didirikan satu patung besar disebelah  kanan pintu masuk ke Batu Caves ini.  Ini adalah  Lord Murugan. Apakah sangkut pautnya Lord Murugan dengan  Si Tanggang tidak  pula aku selidiki.
Yang aku tulis ini hanyalah ingatan aku agar ianya menjadi kenang-kenangan. Tulisan ini hendaknya  menjadi ingatan  kepada anak semua bangsa diabad ini bahawa Batu Caves itu adalah sebahagian dari mitos Orang Asli. Sebelum Lord Murugan muncul di hadapan gua batu ini semangat dan roh Daruma dan Talang telah wujud dahulu.
Aku juga sedar dari Hikayat Si Tanggang Anak Derhaka ini  meyakinkan aku  bahawa agama ini adalah sosial konstruk.  Tanggang  dan kapal batunya juga adalah sosial konstruk untuk mengingatkan kita agar tidak menderhaka kepada ibu bapa dan jangan sesekali melupakan asal usul diri.
Hanya satu yang aku mimpikan agar satu hari nanti  akan  dibina patung Daruma dan Talang segah dan setinggi Lord Murugan. Biarlah roh Daruma dan roh Talang sama-sama  mengajar  anak semua bangsa untuk hidup bersama dan tidak melupakan asal usul kita.