Cakap-cakap mengenai "hung parliament" (parlimen tergantung), penukaran kerajaan baru dan kejatuhan BN sudah mula didengari. Semua ini ada kemungkinan berlaku. BN kini berada dalam keadaan terdesak. Formula sedia ada - yang direka untuk memenangkan BN - kawasan campuran, kini sudah menjadi bahaya buat BN.
Undi Melayu yang menjadi tunjang kekuatan BN terganggu dek kerana skandal Nastional Feedlot Corporation (NFC) yang menyebabkan Shahrizat Jalil tidak terus menjadi menteri. Dan tidak lama lagi, beliau pasti tersingkir dari jawatan ketua Wanita Umno. Untuk melakukan persempadanan semula kerusi parlimen, BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Maka kini BN terdesak. Peratusan untuk kehilangan kuasa itu amat tinggi.
Situasi ini menguntungkan Pakatan Rakyat. Sehingga ramai yang begitu yakin selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti, mereka akan ke Putrajaya. Tidak salah untuk mempunyai keyakinan sebegitu. Apatah lagi parti politik itu memang objektifnya untuk mendapatkan kuasa. Tapi jangan kita lupa BN mempunyai banyak lagi senjata yang akan digunakan untuk mengekang Pakatan dari mengambil alih Putrajaya. Penipuan pilihan raya pasti akan dilakukan.
PRU ke-11 menyaksikan kerajaan negeri Terengganu jatuh semula ke tangan BN. Peratusan keluar mengundi yang luar biasa di kebanyakan kawasan. Operasi yang digelar "Operasi Terengganu" itu dikatakan bakal berlaku di Selangor.
Operator "Operasi Terengganu" dikatakan telah lama bertapak di Selangor. Kerajaan Pakatan pimpinan Khalid Ibrahim yang disokong rakyat akan tumbang dalam PRU ke-13 nanti. Bukan sebab tidak disokong rakyat akan tetapi kerana "Operasi Terengganu".
Hadiah nobel keamanan
Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, jika Pakatan berjaya ke Putrajaya dalam PRU ke-13 tanpa sebarang kekacauan dan berlaku secara aman, ia merupakan satu sejarah besar bagi negara dunia ketiga.
Malaysia akan menjadi negara dunia ketiga pertama menukar rejim melalui pilihan raya dan perdana menteri, Najib Razak wajib menerima anugerah Nobel Peace Prize. Lihatlah bagaimana negara jiran kita (juga negara dunia ketiga) seperti Indonesia, Thailand dan Filipina? Mereka menggunakan jalan raya. Ratusan ribu rakyat di jalan raya berjuang sehingga berlaku pertukaran rejim. Lihat juga bagaimana di negara-negara Arab yang dilanda "Arab Spring"? Bukankah semuanya melalui jalan raya?
Najib adalah pengerusi Umno negeri Selangor. Sudah tentu dia mahu pastikan negeri terkaya di Asia Tenggara itu kembali ke pangkuan BN. Jika Najib gagal, dia juga bakal menerima nasib seperti Abdullah Badawi. Senator Dr Syed Husin Ali turut berkongsi pandangan dengan Mat Sabu. Beliau yakin Selangor akan dirampas oleh BN dengan cara yang paling kotor.
"Pertambahan pengundi baru di kawasan parlimen Subang sangat 'luar biasa' berbanding dengan jirannya di Petaling Jaya Utara. "Jika menteri besar Selangor, Khalid Ibrahim dipindahkan dari seorang pengundi di Selangor menjadi pengundi Kuala Lumpur, apatah lagi rakyat biasa. Sudah pasti ramai penyokong Pakatan dipindah ke merata tempat," kata Syed Husin.
Situasi ala zaman Marcos
Di akhir zaman pemerintahan Ferdinand Marcos di Filipina, banyak kesilapan-kesilapan besar dilakukan. Selain dari perangai buruk Imelda Marcos yang boros berbelanja, banyak kejadian yang tidak seharusnya berlaku, terjadi dan ini menyumbang kepada kejatuhan regim Marcos.
Kesilapan terbesar pertama adalah pembunuhan Benigno "Ninoy" Aquino yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada tahun 1983 di lapangan terbang antarabangsa (kini Ninoy Aquino International Airport). Pembunuhan Ninoy memberikan "vitamin" kepada gerakan penentangan terhadap Marcos. Cory Aquino - balu Ninoy diangkat sebagai simbol perlawanan terhadap Marcos.
Kesilapan terbesar kedua adalah Marcos terpaksa akur kepada tuntutan rakyat dan masyarakat antarabangsa agar pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil.
National Citizens Movement for Free Elections (Namfrel) yang didirikan selepas pembunuhan kejam Ninoy diberikan akreditasi untuk memantau perjalanan pilihan raya presiden mengejut pada tahun 1986.
Namfrel mendapat sokongan majoriti rakyat. Apatah lagi apabila 'mufti besar' Filipina pada ketika itu, Cardinal Sin mendokong Namfrel. Pemantauan yang dijalankan oleh Namfrel membuktikan bahawa penipuan besar-besaran dilakukan oleh Comelec (SPR Filipina) untuk memenangkan Marcos. Rakyat yang tidak percayakan keputusan pilihan raya yang diumumkan oleh Comelec memilih jalan raya. Selepas empat hari di jalan raya, regim Marcos tumbang dan diktator itu melarikan diri ke Hawai, Amerika Syarikat.
Apa yang harus dilakukan?
Yang paling mudah adalah bercakap. Berceramahlah ke merata negara memberitahu rakyat bahawa penipuan pilihan raya bakal berlaku dalam PRU ke-13. Tanpa sebarang tindakan, penipuan akan terus berlaku. Ke jalan raya untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil adalah satu jalan. Filipina pernah melakukan tindakan sebegini. Begitu juga dengan Indonesia. Tunisia dan Mesir turut melakukannya dalam siri "Arab Spring".
Malaysia harus melakukannya jika serius mahukan reformasi pilihan raya. Persoalannya, sanggupkah pengorbanan dilakukan? Tertangkap sewaktu berdemonstrasi adalah perkara biasa. Tidak boleh lagi dianggap sebagai pengorbanan. Sanggupkah rakyat Malaysia ke jalan raya sehingga tuntutan mereka tercapai? Satu minggu, dua minggu, tiga minggu?
Jika belum sampai ke tahap sanggup mengorbankan nyawa, tidak akan berlaku perubahan dan demokrasi yang diinginkan. Harga untuk sebuah perubahan dan demokrasi itu memang mahal. Kita ambil contoh keberanian mahasiswa dalam berjuang untuk kebebasan akademik. Bersimbah darah apabila dipukul. Ini yang diperlukan untuk mencapai impian besar.
Kadangkala rakyat sudah bersedia tetapi pemimpin yang takut kehilangan kehidupan sebagai ahli parlimen atau ADUN. Pemimpin beginilah yang memberatkan gerakan.
Pilihan di tangan anda
Tepuk dada tanya selera. Anda boleh memilih untuk membiarkan saja penipuan pilihan raya berlaku tanpa berbuat apa-apa. Apabila keputusan pilihan raya diumum, anda kecewa kerana undi anda dicuri. Pemimpin yang anda pilih kalah. Parti yang anda sokong hilang negeri yang dikuasai. Semuanya kerana khayalkan dadah Putrajaya. Berangan untuk memimpin Malaysia tetapi jahil dan dangkal tentang realiti politik.
Kekuatan sokongan masyarakat Cina dianggap seperti "fixed deposit" yang pasti menyebabkan BN tumbang. Golongan jenis ini pasti terlupa apa yang pernah berlaku kepada negeri Terengganu. Logikkah rakyat Terengganu mengundi untuk kembali membayar cukai pintu? Sama seperti logikkah rakyat Selangor mengundi untuk kembali membayar bil air?
Logikkah majoriti rakyat bawahan mengundi untuk kenaikan harga minyak dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST)?
Sudah sampai masanya untuk kurangkan bercakap dan melakukan tindakan. Pemberat-pemberat gerakan harus ditendang keluar juga dari gerakan.
Mereka ini adalah 'reformis gadungan' yang sama seperti Zulkifli Nordin, Ezam Mohd Noor, Ruslan Kassim dan ramai lagi. Cuma rakyat bernasib baik kerana tipu helah mereka berjaya dihidu lebih awal.
Mereka ini adalah 'reformis gadungan' yang sama seperti Zulkifli Nordin, Ezam Mohd Noor, Ruslan Kassim dan ramai lagi. Cuma rakyat bernasib baik kerana tipu helah mereka berjaya dihidu lebih awal.
No comments:
Post a Comment