Dunia Adam Bakal Diwarnai


KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Dunia kecantikan hari ini bukan lagi hanya terhad mengenai penjagaan kulit wanita. Ia merujuk kepada keperluan dandanan secara holistik bagi kaum Adam dan Hawa, dan meliputi seluruh tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki, kata seorang saintis.

Melalui sains Omics, para penyelidik mengenal pasti perbezaan utama antara kulit lelaki dan wanita, dan secara langsung menyelesaikan perdebatan selama bertahun lamanya mengenai perkara ini.

Walaupun proses biologi asas adalah sama bagi kedua-dua jantina, kaedah Omics mempamerkan proses tindak balas fungsi dan biologi kulit lelaki dan wanita yang boleh disifatkan sebagai berpunca daripada kelainan hormon.

Omics ialah kombinasi sains genomics, proteomics dan metabolomics. Genomics ialah kajian tentang ekspresi gene serta interaksi antara satu gene dan yang lain selain daripada respons terhadap rangsangan alam sekitar.

Proteomics pula ialah kajian terhadap protein dan bagaimana ia berubah kerana kesan aktiviti gene, manakala metabolomics mengkaji bagaimana perubahan dalam gene memberi impak terhadap proses biokimia dalam sel.

KULIT HAWA, KULIT ADAM

Saintis PhD Procter & Gamble (P&G) John Oblong, yang bekerja untuk mengenal pasti pencapaian dalam teknologi penjagaan kulit, berkata penyelidikan di P&G memberi tumpuan terhadap kulit lelaki dan keperluan individu dalam regimen penjagaan diri.

(Objektif P&G ialah untuk menjadi syarikat pengeluar produk dandanan lelaki yang utama di dunia).

Setiap jenis kulit berubah dengan umur dan kaum lelaki cenderung kepada faktor stres dan pengaruh yang berlainan. Melalui teknologi genomics, saintis telah mengenal pasti perbezaan yang ketara antara kulit lelaki dan wanita.

Proses penuaan lelaki berjalan dengan lebih 'lambat' dan ini dipengaruhi oleh hormon yang berlainan. Kulit mereka menghadapi lebih stres disebabkan keradangan kerana bercukur selain daripada lebih sensitif terhadap cahaya ultra ungu (ultra-violet light), kata Oblong.

Kaedah Omics mengenal pasti bahagian muka lelaki yang mudah mengalami keradangan jika dibandingkan dengan kulit muka wanita. Bahagian-bahagian ini adalah kawasan atas pipi, leher serta kulit di belakang telinga.

Kajian Omics di P&G bertujuan mencari regimen percukuran selain membina aplikasi baharu daripada bahan yang sedia ada bagi jenama produk dandanan lelakinya.

SAINS DANDANAN

Pada Kongres Dermatologi Dunia (WCD) ke-22 yang baru diadakan di Seoul, Korea Selatan, Pengurus Komunikasi Saintifik Gillette, Kristina Vanoosthuyze berkata buat pertama kalinya dalam sejarah kongres itu, para saintis berkongsi maklumat hasil penyelidikan dandanan mereka dengan komuniti dermatologi dunia.

Mereka melakukannya melalui poster, ceramah saintifik dan simposium mengenai dandanan lelaki.

Para saintis berkongsi maklumat tentang biologi kulit lelaki, sains percukuran serta impaknya terhadap kulit. Ini termasuk tentang perkara yang boleh dan tidak boleh buat semasa bercukur selain daripada hipohidrosis dan bagaimana menyediakan teknologi efektif bagi lelaki.

"Orang akan terkejut bila saya beritahu mereka bahawa skop penyelidikan saya hanya bertumpu pada sains bercukur," kata Graham Simms, seorang Fellow Pengkaji Kecantikan dan Dandanan P&G.

"Setiap hari saya akan berada di makmal, mengaplikasi fizik, geometri dan biologi bagi membantu kaum lelaki mempunyai pengalaman bercukur yang lebih baik. Dan bukan hanya saya seorang sahaja. Beratus lagi saintis yang telah melibatkan diri dalam bidang ini sejak bertahun dahulu," tambah beliau.

Gillette, Old Spice dan Braun adalah antara jenama produk dandanan P&G.

Pisau pencukur dan razor Gillette adalah produk hasil kajian meluas dan telah melalui prosedur pengeluaran yang moden. Produk selepas cukur dan juga pelembab adalah juga hasil daripada penyelidikan yang menyeluruh.

BANTUAN

Selain daripada bekerjasama dengan institusi luar, P&G juga menggabungkan Omics dengan model-model sel kulit bagi mengeluarkan larutan untuk menghasilkan kulit yang lebih muda.

Ia menemui bukti baharu mengenai perbezaan sensitiviti cahaya UV terhadap kulit lelaki dan wanita. Ini membantu syarikat itu mempertingkat regimennya terhadap penjagaan kulit.

Selain itu, kaedah Omics juga membantu membentuk semula skop sains rambut. Saintis P&G kini dapat memberi evaluasi terhadap kerosakan rambut pada perengkat molekular dan ini memberi laluan kepada pencapaian baru dalam penjagaan rambut.

Pada kongres dunia itu, syampu anti-kelemumur Head & Shoulders keluaran P&G memberikan satu persembahan tentang hasil kajian terbarunya.

"Head & Shoulders telah berada di barisan depan sains kulit kepala selama lebih 50 tahun. Pencapaian kami yang terkini adalah mekanisme anti-kulat dan kami sungguh teruja tentang keupayaannya mempertingkat ZPT, serta memajukan teknologi anti-kelemumur," kata Dr Rene Rust, saintis kanan di Head & Shoulders.

Setakat ini, penyelidikan tentang rambut dan kecantikan hanya dihadkan pada kulit wanita. Bagaimanapun P&G melalui usaha penyelidikannya mengeluarkan produk khas untuk keperluan lelaki dan membantu kaum ini berasa sentiasa kemas dan kelihatan segak setiap masa.

No comments:

Post a Comment