Enjin Airbus A330-300 Terbakar Lagi


Sebuah enjin pesawat gergasi Airbus A330-300 milik syarikat penerbangan Cathay Pasific yang dalam penerbangan ke Jakarta, Indonesia terbakar semalam. Kebakaran itu menyebabkan pesawat itu terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi di sini sejurus selepas ia berlepas.

Bagaimanapun, kesemua 136 penumpang yang menaiki pesawat Airbus A330-300 itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak berkuasa lapangan terbang dalam satu kenyataan berkata, anggota-anggota perkhidmatan kecemasan berjaya memadam kebakaran pada salah satu enjin pesawat berkenaan.

"Disebabkan isu berkaitan enjin, pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi dan mendarat dengan selamat pada pukul 1.57 pagi," kata kenyataan itu. Satu landasan di lapangan terbang yang menerima penumpang di antara 25 juta hingga 40 juta setahun terpaksa ditutup lebih satu jam disebabkan kejadian itu.

Jurugambar Reuters, Beawiharta yang menaiki pesawat itu memberitahu terdapat bunyi yang kuat 20 minit selepas ia berlepas. Menurutnya, pesawat itu bergoyang dan dia menghidu bau terbakar. Anak lelakinya, Pradipta, 15, yang melihat tingkap pesawat kemudian menjerit: "Saya lihat api!Saya lihat api!Adakah kita akan mati?" 

Menurut jurugambar itu, terdapat penumpang yang berdoa meminta perlindungan daripada Tuhan. Dia berkata, seorang jururawat kemudian memberitahu, satu enjin terbakar dan pesawat itu berpatah balik ke Singapura. Kejadian itu telah dilaporkan kepada Jabatan Penerbangan Awam Hong Kong. Syarikat Cathay Pacific dan pembuat enjin pesawat terbabit, Rolls-Royce sedang menyiasat kejadian itu.

Menurut satu kenyataan syarikat penerbangan itu, pesawat itu menerima amaran dari enjin No.2 sejurus ia berlepas. "Kru-kru menutup enjin Rolls-Royce itu apabila mereka menerima amaran dan pendaratan kecemasan diisytiharkan," kata kenyataan tersebut. Pada November tahun lalu, sebuah pesawat Airbus A380 membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi kerana salah satu enjin pesawat meletup di udara.

No comments:

Post a Comment