4.50pm: Fadiah Nadwa Fikri dari Lawyers for Liberty berkata polis menggunakan Seksyen 28A (8) - yang menafikan hak akses kepada peguam ke atas mereka yang ditahan itu.
Katanya, tidak kurang 1,000 orang ditahan hari ini dan ada yang ditempatkan di Pulapol.
Menurut Fadiah tindakan kerajaan itu jelas mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
4.50pm: Hotel Hilton - Beberapa pemimpin Pakatan seperti Datuk Kamaruddin Jaafar, Nurul Izzah mula meninggalkan hotel.
4.45pm: Hotel Midah - Jawatankuasa BERSIH dilapor sedang mengadakan sidang media di Hotel Midah pada masa ini.
4:40pm: Pudu - Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah mengecam tindakan keras pihak berkuasa ketika berdepan dengan penunjuk perasaan.
Pasukan polis bukan sahaja tidak menghormati hak rakyat untuk berhimpun tetapi juga menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke dalam kawasan hospital Tung Shin.
Ditanya apakah sepatutnya respons rakyat terhadap tindakan tersebut, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu memilih wakil yang boleh melindungi hak mereka.
4.30pm: Menurut sumber PKR, Tian Chua yang ditahan di Balai Polis Jinjang berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih ditahan dalam trak polis. Sekurang-kurangnya 100 ditahan di sana. 4.21pm: Jawatankuasa BERSIH akan mengadakan sidang akhbar di Hotel Midah pada jam 4.45 petang ini.
4.10pm: Hotel Hilton - PAS memberi tempoh 24 jam supaya polis membebaskan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau himpunan kedua akan dilakukan.
Jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad pada sidang mediabya, berkata, jika Hadi tidak dibebas, sejuta ahli parti Islam itu akan berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
4.10pm: Stesen LRT yang masih ditutup, menurut RapidKL - Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek dan Dang Wangi.
4.01pm: Facebook PDRM - Antara pemimpin teratas yang ditahan ialah:
Mahfuz Omar - KL Sentral
Salahuddin Ayub - KL Sentral
Mohamad Sabu - Jalan Mahameru
Fauziah Salleh - KL Sentral
Tian Chua - KL Sentral
S Ambiga - KL Sentral
Hadi Awang - KL Sentral
Azeez Rahim - Jalan Bukit Bintang
4pm: Istana Negara - Delegasi BERSIH 2.0 seramai kira-kira 20 orang yang diketuai oleh A Samad Said dihalang oleh polis kira-kira 200 meter dari pintu pagar istana.
Rundingan dengan pihak polis gagal dan kumpulan itu bersetuju untuk bersurai. Bagaimanapun, Samad berkata beliau perlu berehat dan kumpulan itu meninggalkan beliau di situ.
3.50pm: KL Hilton - Dalam satu sidang akhbar, naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar, N Surendran dan timbalan setiausaha agung PAS, Syed Azman mengutuk kekejaman polis yang didakwa mereka menyebabkan kecederaan terhadap beberapa pemimpin Pakatan.
Mereka berkata, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah dihantar ke Hospital Pantai, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan pemimpin BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah dan A Samad Said juga mengalami kecederaan.
3.50pm: Istana Negara - Sekumpulan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 menuju ke arah istana dari Hotel Midah Hotel. Mereka sedang menunggu kelulusan pihak istana untuk menyerahkan petisyen BERSIH 2.0.
3.50pm: Pasar Seni - Pemimpin BERSIH, Wong Chin Huat, selepas membaca lapan tuntutan BERSIH 2.0, meminta orang ramai bersurai.
3.49pm: Pudu - Kumpulan penyokong BERSIH 2.0 yang terperangkap di antara dua sekatan polis dan berlindung di Hospital Tung Shin kini bersurai apabila polis bertindak menyerbu ke arah mereka dan memulakan tangkapan.
Ramai yang lari
mengikuti lorong belakang tetapi tidak kurang juga penyokong tegar yang bersembunyi di tempat letak kereta hospital berkenaan. Namun tindakan polis melepaskan gas pemedih mata menyaksikan mereka terus melarikan diri.
Orang ramai mula bersurai secara aman tetapi ada yang masih melaungkan 'Reformasi' dan 'Bersih' di bawah stesen LRT Pasar Seni.
Polis bertindak dengan menembak gas pemedih mata ke arah mereka.
3.40pm: Taman Tasik Titiwangsa - Kira-kira 20 ahli PERKASA dilihat di sebuah restoran di sini. Mereka hanya mengikuti perkembangan perhimpunan BERSIH melalui siaran televisyen.
Namun presiden kumpulan itu, Ibrahim Ali dan timbalannya langsung tidak kelihatan.
Terdapat sepuluh anggota polis yang berkawal di pintu masuk taman rekreasi itu.
3.38pm: Pudu - 2,000 orang kini di Pudu selepas dinafikan laluan selamat yang didakwa dijanjikan sebelum ini menuju ke Jalan Sultan. Polis anti rusuhan terus melepaskan meraim air dan gas pemedih mata kepada mereka yang cuba mendapatkan perlindungan di Hospital Tung Shin.
Mereka kini terperangkap di tengah-tengah antara dua sekatan FRU.
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata selepas rundingan dengan MP Pakatan R Sivarasa dan Ngeh Khoo Ham gagal berhubung apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang berarak itu.
Adalah dipercayai orang ramai yang menggunakan separuh daripada jalan itu tetapi pihak polis mahu mereka bersurai dalam kumpulan kecil sebelum dibenarkan berarak.
Adalah dipercayau Sivarasa juga telah ditahan tetapi tempat beliau dibawa belum dapat disahkan.
3.37pm: Pasar Seni - kumpulan BERSIH berarak melalui Jalan Sultan ke arah Pasar Seni, tetapi mereka ditembak gas pemedih mata berhampiran Stesen LRT Pasar Seni. Ia memaksa mereka berundur ke Jalan Sultan.
3.22pm: Bukit Bintang - 300 penyokong Pemuda Umno di Jalan Bukit Bintang di depan Hotel Federal mula bersurai selepas mengadakan rundingan dengan pihak polis.
Sambil mendakwa telah mencapai kemenangan moral - walaupun hanya mampu bergerak 200 meter sepanjang Jalan Bukit Bintang - masih jauh dari destinasi mereka di Stadium Merdeka - Exco Pemuda Umno, Megat Omardin berkata mesej mereka sudah disampaikan.
Katanya mereka telah datang dan telah mencapai tujuan mereka, diikuti dengan pembacaan doa.
Kemudian, Ketua Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Arman Azha memberitahu
Malaysiakini bahawa exco Pemuda, Lokman Noor Adam serta 20 lagi ahli mereka telah ditangkap.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, yang juga turut ditangkap, kemudian menulis dalam tweetnya yang beliau dibawa ke Pulapol, manakala exco pergerakan itu, Ahmad Zaki Zahid cedera.
Tulisnya, FRU telah menembak gas pemedih mata terus ke arah mereka.
3:20pm: Pudu - Orang ramai mula berarak dari Pudu ke arah Jalan Sultan, sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana memberi mereka laluan selamat. Kumpulan seramai 2,000 orang itu, juga menyanyi Negaraku ketika berjalan.
3.15pm:
Pudu - Polis bersetuju memberi laluan selamat kepada ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pudu sehingga Jalan Sultan dengan syarat mereka hanya menggunakan separuh jalan dan berarak secara aman.
Persetujuan dicapai selepas ahli parlimen Pakatan Rakyat, R Sivarasa dan Ngeh Khoo Ham berunding dengan pihak polis.
3.10pm: Facebook PDRM Facebook - Jumlah yang ditangkap setakat jam 2.30 petang tadi adalah 672 orang.
3.00pm: TV Selangor melaporkan laman webnya digodam. Bagaimanapun ia masih bersiaran menerusi alamat www.itv.com/tv_channels/p5577 dan alamat pintas www.itv.com.
Video perarakan perhimpunan BERSIH 2.0 ke Stadium Merdeka yang sedang berlaku boleh ditonton menerusi www.intisari tvsnews.blogspot.com
2.57pm: Bukit Bintang - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ditangkap ketika sedang membersihkan matanya ketika gas pemedih mata dilepaskan, di sebuah pondok yang terletak kira-kira 100 meter dari benteng FRU.
Meriam air dan gas pemedih mata juga ditembak ke arah baki penyokong Pemuda Umno, menyebabkan mereka berundur 50m dari tempat asal mereka.
Kumpulan itu tinggal kira-kira 200 orang.
2.55pm: Bukit Bintang - Kira-kira tiga orang ditangkap apabila penyokong Pemuda Umno cuba melepasi benteng anggota FRU, menyebabkan berlaku pergelutan dan gas pemedih mata dilepaskan. 2:50: KL Sentral - Naib presiden PKR, N Surendran memberitahu Malaysiakini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdarah di kepala dan mencederakan di lutut.
2.48pm: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ditahan.
2:45pm: KL Sentral - Datuk Seri Anwar Ibrahim tweet bahawa dia mengalami kecederaan dan dua anak perempuannya - Nurul Izzah dan Nurul Hana - juga telah ditahan.
Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga mengesahkan beliau telah ditangkap. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut ditangkap.
2.43pm: KL Sentral - Huru hara berlaku di sini apabila polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan tertutup. Penyokong BERSIH cuba melarikan diri dari stesen itu melalui Brickfields.
Tembakan gas pemedih mata itu memaksa orang ramai bertempiaran ke dalam stesen. Wartawan di luar KL Sentral juga dilarang memasuki kawasan itu dan menyukarkan tugas mereka bagi mengesahkan keadaan sebenar situasi.
Beberapa pemimpin Pakatan termasuk MP Batu Tian Chua, MP Pantai Dalam MP Nurul Izzah Anwar, MP Kuala Selangor Dzukefly Ahmad, dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga disahkan telah ditangkap.
2:41pm: Facebook PDRM: Sehingga jam 2 petang, 644 ditahan - 597 lelaki dan 47 wanita.
2:40pm: Puduraya - Orang ramai berpecah kepada kumpulan yang lebih kecil. Mereka percaya akan mengambil laluan yang berasingan menuju ke Stadium Merdeka.
2:35pm: Bukit Bintang - kumpulan Pemuda Umno berhenti di hadapan Hotel Royale Bintang di mana mereka berjalan menuju ke arah satu lagi kumpulan BERSIH di persimpangan Jalan Pudu-Bukit Bintang.
2.30pm: Puduraya - Orang ramai yang berjumlah tidak kurang 10,000 itu kini mula berkumpul semula dan dipimpin oleh oleh pemimpin PAS Dr Hatta Ramli dan pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin. Mereka juga sedang menuju ke pusat bandar.
Polis dilaporkan terus melepaskan gas pemedih mata bagi memaksa orang ramai supaya bersurai.
2.30pm: Brickfields - Penyokong Pakatan Rakyat dan BERSIH 2.0 berjaya keluar dari KL Sentral yang sebelum ini dikepung oleh polis dan menuju ke Jalan Tun Sambanthan dimana mereka disertai oleh kira-kira 1,000 lagi penyokong.
Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan beberapa lagi dilihat berada bersama penyokong mereka.
Dalam perjalanan menuju pusat bandar beberapa tong gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka. Ambiga dan seorang ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah kemudiannya dilapor juga ditangkap.
2:20pm: Puduraya - Kumpulan 10,000 orang yang diketuai oleh pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin berkumpul semula dan bergerak ke arah pusat bandar.
Bagaimanapun, polis menembak satu lagi pusingan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.
2.18pm: Pudu-Bukit Bintang - Walaupun basah kuyup akibat hujan, semangat orang ramai tidak pudar dan mereka mula terus melaungkan "Bersih! Bersih!”.
2.15pm: KL Sentral - Pemimpin Pakatan Rakyat dan Bersih lsedang berarak ke Hotel Hilton menuju ke KL Sentral sambil melaungkan "Bersih! Bersih!” tetapi dihalang oleh police.
Orang ramai bersama pemimpin PKR, termasuk naib presidennya Tian Chua berjaya melepasi sekatan polis dan terus berarak. Beliau kemudiannya ditangkap polis.
Mereka dipercayai sedang menuju ke Stadium Merdeka.
2.10pm: Puduraya - Polis dilaporkan semakin garang terhadap penunjuk perasaan. Ada yang diheret. Seorang penunjuk perasaan juga dilaporkan cedera dengan kepalanya berdarah.
2.05pm: Puduraya - Polis terus bertindak menangkap lebih ramai penunjuk perasaan dengan anggota polis bergerak dalam kumpulan lima dan enam orang bagi menangkap individu tertentu.
Mereka juga didakwa dilihat menumbuk dan menolak tahanan. Beberapa tahanan wanita juga dilaporkan dikasari.
2:01: Bukit Bintang - perarakan Patriot telah terhenti seketika.
Menurut sumber-sumber Pemuda Umno, kumpulan itu sedang menunggu selepas laluan mereka ke Stadium Merdeka dihalang pihak polis.
Kumpulan itu juga sedang menunggu kumpulan kecil penyokong Pemuda Umno yang berarak dari Kampung Attap dan PWTC.
2pm: Hotel Hilton - Hujan masih turun di luar hotel dan suasana di dalamnya tegang ketika pemimpin Pakatan Rakyat bersedia untuk berarak.
Bagaimanapun, mereka kelihatan bertenaga dan berikrar untuk meneruskan perarakan ke Stadium Merdeka bila dapat melepasi benteng polis di luar hotel yang menunggu kemunculan mereka.
Pemimpin Pakatan dikelilingi oleh wartawan ketika mereka bergerak keluar perlahan-lahan.
1.59pm: Menara Maybank - Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah kira-kira orang ramai yang kini dianggarkan berjumlah tidak kurang 10,000 orang. Mereka berarak di hadapan bangunan Menara Maybank dan sepanjang Jalan Tun Perak.
Mereka dari arah Masjid Jamek pula mula bergerak ke arah Puduraya.
Polis melepaskan gas pemedih mata selepas tembakan meriam air gagal menyekat kemaraan rakyat. Ramai juga yang pulih selepas terkena tembakan gas pemedih mata bangkit semula dan terus berarak.
1.57pm:
Hotel Malaysia - Khairy Jamaluddin muncul di perhimpunan Pemuda Umno dan memberi ucapan ringkas. Katanya, BERSIH 2.0 tidak boleh disokong kerana ia telah resapi parti-parti pembangkang.
Beliau kemudian mengetuai kumpulan itu berarak menuju ke Stadium Merdeka.
1.55pm: Hujan mula mencurah di Kuala Lumpur.
1.52pm: Masjid Jamek - Terdapat sekurang-kurangnya empat trak polis di stesen LRT Masjid Jamek sekarang ini.
Orang ramai yang berhimpun terpaksa bersurai kerana polis telah melepaskan gas pemedih mata tetapi mereka dijangka berkumpul semula.
1:44pm: Menara Maybank - Trak meriam air melepaskan tembakan ke atas orang ramai untuk kali kedua - kali ini menggunakan air bercampur kimia dan pewarna biru.
Daripada bersurai, orang ramai teras bergerak. Sesetengahnya kelihatan menumbuk trak meriam air.
Ini diekori dengan satu lagi pusingan gas pemedih mata yang dapat menyuraikan orang ramai secara perlahan-lahan.
1:43pm: Masjid Jamek - Sekumpulan kira-kira 10 pegawai polis tugas am yang memakai topeng gas, mengejar penunjuk perasaan yang berlari lintang pukang ke dalam kawasan Masjid India.
[video - 17 saat] 1:40pm: Menara Maybank - Tembakan meriam air dilepaskan terhadap 1,000 penunjuk perasaan.
1:38pm: LRT Masjid Jamek - Seorang pegawai polis dengan menggunakan pembesaran suara mengumumkan: “Perhimpunan hari in tak ada kebenaran jadi diminta semua bersurai serta merta atau kami suraikan dengan kekerasan.”
Pegawai itu juga memberi masa tiga minit kepada orang ramai supaya bersurai.
Ia dijawab dengan laungan 'Takbir" dan ejekan dari orang ramai yang berjumlah kira-kira 500 orang.
1.35pm: Kenyataan akhbar dari IPK KL.
Setakat ini, 540 orang telah ditangkap (479 lelaki, 58 wanita, tiga remaja bawah umur) untuk disiasat.
Antara yang ditahan itu, 11 kerana memakai baju T kuning BERSIH 2.0 dan seorang yang memakai baju merah PATRIOT.
Sementara itu, tiga individu yang dipercayai pemimpin perhimpunan itu juga telah ditangkap. Mereka adalah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, dan naib presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
1.33pm: Jalan Tun Perak - pemimpin PAS Dr Hatta Ramli yang memegang sebuah pembesar suara memberitahu kira-kira 4,000 hadirin bahawa naib presiden parti itu Mahfuz Omar dan lebih 300 yang lain telah ditangkap.
"Perjuangan rakyat memerlukan pengorbanan... Mereka di bawah umur 40 tidak pernah menyaksikan demokrasi di negara ini,” katanya.
Orang ramai menyambut ucapan itu dengan laungan "Allahuakbar".
Terdapat marshal BERSIH yang mengarahkan orang ramai supaya membuka laluan kepada kenderaan supaya mereka boleh meneruskan perjalanan masing-masing.
1.30pm: Kira-kira 300 anggota Pemuda Umno telah berkumpul di Jalan Bukit Bintang. Mereka semua memakai baju-T- merah bertulis 'Patriot'. Baju-T itu juga didedarkan kepada orang ramai.
Antara yang hadir ialah pemimpin Pemuda Umno Arman Azhar, Reezal Merican Naina Merican, Zaki Zahid, tetapi ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin tidak kelihatan. Pegawainya bertegas bahawa Khairy akan tiba kemudian.
Kumpulan itu melaungkan "hancur Bersih" dan "Siapakah saya? Patriot!". Mereka berselisih dengan kumpulan BERSIH 2.0 yang melewati kawasan itu kira-kira 10 minit lebih awal.
1.22pm: Petaling Street - kumpulan beberapa ribu orang yang berarak ke Stadium Negara, berpatah balik ke Jalan Tan Cheng Lock selepas berdepan dengan satu sekatan jalanraya.
Sekumpulan besar rakyat Sarawak melaungkan 'Hidup Sarawak', disambut tepukangemuruh dari yang lain.
1.20pm: Masjid Jamek - Jumlah yang berhimpun terus bertambah ramai dengan polis pula menunggu bantuan bagi memperkukuhkan sekatan mereka.
1.21pm: Pemimpin utama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Sadterawan Negara A Samad Said juga berada di Hotel Hilton. Mereka disertai oleh ahli politik William Leong, Datuk Kamaruddin Jaafar, Zaid Kamaruddin, Syed Azman Syed Nawawi dan Tian Chua.
Berita timbalan presiden PKR Azmin Ali ditangkap kini disahkan. Sebelum ini, dua naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub juga telah ditangkap.
1.15pm: Angka rasmi tangkapan setakat ini ialah 514 - 478 lelaki dan 36 wanita.
1.15pm: Masjid Negara - Masjid ini hampir kosong dan dipenuhi anggota polis. Ada yang mengadu tandas dikunci sehingga menyusahkan orang ramai.
1.14pm: Akaun twitter palsu @bersihrally dikesan. Ia diwujudkan pagi tadi jam 9.42.
Twitter yang mendakwa akan “menyiarkan laporan langsung perhimpunan BERSIH 2.0 dengan bantuan sukarelawan yang membuat liputan” itu menyebarkan berita palsu.
Antaranya berlaku kejadian menjarah di Pasar Seni, pertembungan dengan polis di KLCC dan juga tembakan dilepaskan di Bangsar.
Selepas dikesan oleh pengguna Twitter lain, @bersihrally akhirnya mengalah dengan mesej ini: "Took you guys long enough to figure it out. I've done my job. Thanks for playing."
1.00pm: Masjid Jamek - Jumlah penunjuk perasaan semakin ramai dengan tidak kurang 1,000 orang yang bersiap sedia untuk berarak.
Sebelum itu, seorang pelajar dilaporkan terkena tembakan kanister gas. Beliau memohon gambarnya yang cedera tidak disiarkan kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh kerajaan kerana beliau seorang pelajar.
12.51pm: Hotel Hilton - Pemimpin PKR Nurul Izzah Anwar, Syed Husin Ali, Lateefah Koya tiba di bilik hotel Anwar Ibrahim. Wartawan tempatan dan luar negara sudah bersiap sedia untuk sidang akhbar yang dijadualkan itu.
12:50: Kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang berarak dari Petaling Street menuju ke arah ke Stadium Negara.
Mereka melaungkan 'Bersih, Bersih, Pilihanraya' dan 'Hidup, Hidup, Rakyat'.
Enam penunjuk perasaan pertengahan umur mula menyanyikan Lagu Negaraku, dan terus disambut oleh yang lain.
Salah seorang daripada mereka, Dr Wong Fort Pin, berkata, mereka meraikan keamanan.
12.45pm: Kampung Baru - Lagi 16 orang yang dipercayai penyokong BERSIH di kawasan sekitar ditangkap. Seorang daripada mereka membawa baju kuning BERSIH.
Sebelum itu, polis kelihatan mengejar dipercayai penyokong BERSIh yang duduk di sekitar masjid di Jalan Raja Abdullah menyebabkan mereka lari bertempiaran.
12.45pm: Beberapa perarakan daripada pelbagai lokasi mula bergerak dari arah yang berbeza, manakala pihak polis bertindak dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Di Dataran Merdeka, polis melepaskan gas pemedih mata ke atas kumpulan penunjuk perasaan yang berarak ke arah kawasan tersebut.
Kumpulan ini dipercayai telah berarak dari bekas ibu pejabat KTM berdekatan. Kumpulan itu dianggarkan sekitar 1,000 orang.
12.45pm: Pusat Latihan Polis (Pulapol) - Menurut sumber PKR, timbalan presiden parti itu ditangkap dan kini di Pulapol, Jalan Semarak. Malaysiakini sedang cuba mengesahkan laporan itu.
12:42: Stesen lama KTM - Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata mereka memandang berat terhadap tangkapan beramai-ramai sehingga ini.
"Polis kata, mereka akan ditahan di Pulapol (Pusat Latihan Polis)," kata sambil menambah bahawa pihaknya sedang memantau keadaan.
Nayagam, bagaimanapun, tidak mahu mengulas sama ada polis kasar dalam tindakan mereka terhadap suspek.
12.34pm: Kira-kira 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama KTM menuju Dataran Merdeka.
12.32pm: Masjid Jamek - Ahli Majlis MPSJ Michael Tamil dan Mohd Hafifudin, yang juga adalah pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Masjid India, sedang memantau kawasan sekitar.
"Saya di sini untuk lihat betapa banyak yang penjaja rugi kerana orang ramai tidak berani datang sini,” kata Hafifudin yang kesal dengan tindakan polis hari ini.
"Jika penjaja kerugian kerana jalan ditutup siapa yang patut mereka tuntut kerugian itu. Mereka patut tuntut daripada kerajaan,” katanya kepada
Malaysiakini ketika ditemui di Bazaar Jalan Melayu.
Hampir semua kedai dan gerai di kawasan sekitar ditutup hari ini.
12.30pm: Menurut Facebook polis, seramai 441 orang, termasuk 20 wanita, ditahan sehingga jam 12 tengahari.
12.20pm: KL Sentral - Selain Anwar dan Dr Wan Azizah turut berada di sini adalah ketua pemuda DAP Anthony Loke dan setiausaha PKR Saifuddin Nasution di Hotel Hilton yang terletak di bangunan itu.
Mereka dijadual mengakan sidang akhbar sebentar lagi. Semua mereka adalah antara 91 individu yang dilarang memasuki Kuala Lumpur.
12.16pm: Masjid Jamek - Hampir tidak ada kedai yang dibuka, kebanyakan orang berlegar di jalan dan lorong belakang Little India, menunggu masa untuk berhimpun.
Polis terus memeriksa dan menangkap mereka yang disyaki akan berhimpun.
"Mereka arah kami buka beg, macam mana bom didalamnya,” kata seorang wanita Melayu dari Klang yang berang apabila begnya diperiksa oleh empat anggota polis.
"Kenapa kami tak boleh duduk sini? Ini hak asasi kami,” kata seorang lagi wanita yang juga dari Klang.
12.15pm KL Sentral - Dua naib presiden PAS - Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub ditahan ketika dalam perjalanan ke Hotel KL Hilton. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail sudahpun berada di sana.
12:10pm: Menurut Facebook polis, mereka menafikan dakwaan twitter BERSIH 2.0 bahawa berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis di KLCC dan menafikan juga gas pemedih mata telah digunakan.
12:12 pm: IPK KL - Seramai 338 orang telah ditangkap - 321 lelaki dan 17 perempuan.
Mereka ditahan di sekitar Dataran DBKL, Istana Negara, Pasar Seni dan Masjid Jamek.
12:15pm: Bekas ibupejabat KTM - tandas dalam bangunan itu telah dikunci oleh pihak polis.
12.05pm: Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut agak lenggang dengan hanya kira-kira 50 orang di luar, termasuk ketua penerangan PAS Misbahul Munir.
Empat kereta peronda polis diletakkan kira-kira 50 meter dengan 15 pegawai polis. Sekumpulan anggota polis Cawangan Khas berlegar dengan orang ramai.
11:58am: Petaling Street - Kira-kira 50 orang berkumpul di dalam kelompok kecil di sepanjang jalan pasar, yang dipercayai penunjuk perasaan. Bagaimanapun, tidak ada yang berpakaian kuning.
11.55pm: Stesen lama KTM - Masih ramai yang berlegar di sekitar stesen keretapi ini. Mereka diminta meninggalkan kawasan itu melalui jejantas berhampiran Mahkamah Syariah.
Puluhan telah ditahan di kawasan ini. Polis juga dikatakan bertindak kasar terhadap suspek. Ada yang dicekup di tengkuk. Lori polis kedua yang penuh dengan tahanan beredar ke balai polis.
Polis anti-rusuhan juga bersiap-sedia dan dipercayai akan bergerak masuk ke stesen KTM bagi menyuraikan rakyat yang cuba berhimpun itu.
11.50am: Timbalan presiden PKR Azmin Ali menulis di tweeter - "Saya sudah berjaya tiba di 'forbidden city of KL'."
Beliau antara 91 individu yang dilarang oleh perintah mahkamah daripada memasuki Kuala Lumpur hari ini.
11:47pm: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menghantar tweet berkata kumpulan Patriot akan berkumpul di Jalan Bukit Bintang pada jam 1 tengah hari. "Ketua Pemuda Umno Pahang Abu Jimi telah ditangkap polis di stesen bas Putra."
11:45am: Sogo - Seorang wanita dilihat merayu kepada pihak polis supaya membebaskan suaminya yang telah ditahan selepas pasangan itu membeli-belah di Haniffa Textile.
"Polis minta saya ambil teksi, tapi tak ada teksi di sini," kata wanita itu ketika trak polis yang membawa suami beredar dari situ.
11.44am: Jumlah terbesar orang ramai yang berhimpun adalah di kawasan sekitar Masjid Jamek dan Masjid Negara. Namun, pintu pagar Masjid Jamek dikunci manakala di Masjid Negara polis tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid. Ramai yang berkumpul sekitar kawasan stesen lama KTM.
11.35am: Stesen lama KTM - Ketegangan berlaku di disini. Anggota polis cuba menyuraikan orang ramai di dalam bangunan.
11.34am: Masjid Jamek - Seorang pemuda yang mempunyai baju BERSIH 2.0 di bagnya ditangkap di hadapan restoran McDonald.
Dari jam 10.50 pagi hingga sekarang, jumlah yang ditangkap di kawasan ini adalah hampir 40 orang. Mereka dibawa dengan lori dan van polis. Polis juga mengarahkan lori baru kerana menjangkakan lebih ramai akan ditahan dan kenderaan itu digunakan sebagai tempat tahanan sementara.
Stesen LRT Masjid Jamek yang dikawal ketat itu masih beroperasi dan orang ramai masih dibenarkan menggunakannya.
Jumlah wartawan tempatan dan luar negara yang berada di sini berjumlah kira-kira 50 orang.
11.30am: Menurut Facebook PDRM, sehingga 11 pagi, 236 orang telah ditangkap 228 lelaki dan lapan wanita.
Mereka melaungkan 'Allahu Akbar'. Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di kawasan tersebut pagi ini.
11:25am: Menurut sumber, pemimpin Pakatan Rakyat telah bergerak ke pusat bandar.
11:12am: Sogo - Seorang daripada tiga lelaki yang ditahan di sekitar Masjid India berkata, polis memeriksa begnya dan menemui baju-T kuning.
"Bubuh gambar saya, biar besar sikit," katanya sambil senyum sebelum dibawa menaiki trak polis.
11:10am: KLCC - Tiada bukti bahawa gas pemedih mata telah digunakan ke atas penunjuk perasaan di sini. Pengunjung kelihatan mundar-mandir seperti biasa.
11.04am: Stesen LRT Hang Tuah LRT kini ditutup kerana "sebab-sebab keselamatan".
11am: Satu sumber Bukit Aman berkata lebih 100 orang telah ditangkap pagi ini setakat ini.
10.55am: Stadium Merdeka - Polis menutup stesen monorail Maharajalela dan stesen Hang Tuah yang terletak berhampiran Stadium Merdeka.
Perkhidmatan monorail masih diteruskan di stesen-stesen lain. 10.55am: Masjid Negara Kira-kira seratus anggota polis sedang mengawal pintu masuk ke Masjid Negara. Beberapa penyokong Pakatan Rakyat kelihatan sedang disoal.
10:45am: Kampung Baru - Sekumpulan lagi ditahan, termasuk seorang lelaki yang memiliki baju-T BERSIH. Beliau tidak ditempatkan bersama yang lain dan dibawa di tempat lain untuk disoalsiasat.
10:43am: Sogo - Tiga lagi lelaki, membawa beg galas, ditahan di sekitar kawasan tersebut.
Seorang daripadanya yang berbadan tegap dan berjanggut kelihatan memakai tag akhbar Bernama.
Ketika ditemui kemudiannya, wartawan
Bernama itu berkata, dia dilepaskan apabila polis berpuashati dengan penjelasannya. Katanya disoalsiasat kerana membawa walkie-talkie. Bagaimanapun, dua orang lagi dibawa menaiki trak polis.
10:25am: Masjid Jamek - Terdapat lebih banyak tangkapan di sekitar stesen LRT Masjid Jamek. Trak polis yang diletakkan di sebelah masjid Masjid Jamek mempunyai sekurang-kurangnya 16 orang di dalamnya.
10:23am: Laporan PDRM - sehingga jam 9 pagi, 'Operasi Polis Perhimpunan 9 Julai 2011' membabitkan 21 tangkapan.
10:21am: KLCC - BERSIH tweet bahawa berlaku pertembungan polis dengan penyokong. "Kanister gas digunakan," katanya. Malaysiakini sedang cuba mengesahkannya.
10.20am:
Stesen LRT Masjid Jamek - Tangkapan penyokong BERSIH 2.0 berterusan. Turut ditahan adalah seorang lelaki selepas polis menggelidah bagnya tetapi tidak menjumpai barangan berkaitan BERSIH. Dia bagaimanapun mengakui sedang mengumpulkan derma semasa ceramah PAS sebelum ini.
10.06am: Stadium Merdeka - Polis memasang kawat duri pada di kedua-dua arah masuk Jalan Stadium, dan menutupnya bukan sahaja kepada kenderaan tetapi juga pejalan kaki. Kira-kira 20 wartawan juga sedang berkumpul di kawasan ini yang penuh dengan anggota polis.
10.06am: Di stesen lama KTM - seorang warga emas berusia 70 tahun yang memakai serban dan jaket Pakatan Rakyat ditahan bersama dua lagi selepas beliau berkeras untuk pergi ke Masjid Negara untuk bersolat. Ketiga mereka dibawa dengan jip polis.
10.05am: Masjid Negara - Jumlah orang ramai juga semakin bertambah di kawasan ini. Dianggarkan tidak kurang seribu telah berada di sekitar sini.
9.55am: Masjid Jamek - Lebih ramai yang datang melalui stesen LRT. Polis belum memeriksa mereka tetapi hanya memerhatikan keadan. Kawasan ini adalah antara lokasi panas pada perhimpunan BERSIH pada 2007.
9.50am: Masjid Negara - Seorang lelaki tua yang cuba menghampiri masjid dengan niat untuk bersolat telah dihalau oleh pihak berkuasa. Jumlah penyokong BERSIH 2.0 di persekitaran stesen keretapi lama itu semakin bertambah ramai.
9.45am: Masjid Negara - Sekurang-kurang 1,000 penyokong BERSIH 2.0 berjaya berkumpul di kawasan sekitar ibu pejabat lama KTM dan sedang melaung-laungkan slogan.
9.41am: Istana Negara - Sebuah trak meriam air dan anggota polis pencegah rusuhan berkawal di kawasan ini. Kawasan ini di Jalan Mahameru kini ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melaluinya.
9.40am: IPK Kuala Lumpur - Penolong Pengarah Pengurusan (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan 21 orang telah ditangkap pihak polis.
Polis memberitahu semua tangkapan terdiri daripada 20 orang berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Cina yang dipercayai penyokong BERSIH 2.0.
Mereka ditahan atas kesalahan mengganggu penjawat awam dan disiasat mengikut Akta Polis. Secara tidak rasmi, seorang lagi pegawai berkata tidak kurang 100 orang yang telah ditangkap.
9.38am: Kampung Baru - Tambahan 18 lagi ditahan dipercayai penyokong BERSIH di sekitar kawasan ini. Jumlah itu tidak termasuk dengan tangkapan pertama pada kira-kira sejam sebelum ini di mana sembilan orang dicekup.
9.35am: Masjid Jamek - Tujuh orang ditahan. Alasan penahan mereka belum dapat dipastikan. Wartawan tidak dibenarakan berada berhampiran trak tempat mereka ditahan.
"Awak tak boleh berada di sini. Sila bercakap kepada pegawai saya jika awak mahu berada di sini,” kata anggota polis itu.
9.30am: Maju Junction - Empat lelaki ditahan apabila polis menjumpai sehelai baju berwarna kuning di begnya.
9.15am: DBKL - Kira-kira 60 anggota polis dan sepuluh trak dilihat berada di persimpangan T di hadapadan bangunan DBKL.
9.05am: KL Sentral - Polis sedang memeriksa bag-bag kepunyaan penyokong PAS yang baru tiba dari Kelantan.
9.00am: Stadium Merdeka - Jalan ke stadium itu dari Jalan Maharajalela sudah dikepung dengan halangan kawat berduri. Wartawan yang ingin memasuki kawasan itu perlu berdaftar dengan polis.
8.50am: Dataran Merdeka - Police telah menutup kawasan Dataran Merdeka. Lebih enam trak FRU, termasuk trak meriam air diletakkan di lokasi ini.
Sepanjang Jalan Tun Perak, berhampiran stesen Masjid Jamek, puluhan trak FRU dan sebuah trak meram air bgersiap sedia. Kawasan ini adalah lokasi yang lazimnya menjadi tempat berkumpul bagi penunjuk perasaan.
Dianggarkan tidak kurang 300 anggota FRU dan anggota polis lain berkawal di sini.
"Tiada sesiapun yang yang boleh masuk kawasan ini,” kata seorang polis apabila wartawan Malaysiakini cuba meninjau kawasan sekitar Dataran Merdeka.
8.45am: Ibu pejabat PAS - Belum kelihatan anggota polis berpakaian seragam mahupun kenderaan mereka. Namun sekumpulan yang tidak dikenali dilihat memasang kamera video bertentangan bangunan itu. Adalah dipercayai pemimpin utama PAS sedang berkumpul di sana.
8.40am: Jalan Tunku Abdul Rahman - Pasukan pemantau Majlis Peguam turun ke jalanan dengan berpakaian suit hitam dan tag 'Pemantau' di jaket mereka.
"Kami akan pantau perhimpunan ini dan merakamkan gambar jika perlu. Terdapat kira-kira 100 pemantau Majlis Peguam. Ada yang membekalkan khidmat guaman,” kata HR Dipendra, yang mengetuai pasukan 15 pemerhati.
8.30am: Kampung Baru - Sembilan penyokong BERSIH 2.0 ditangkap dan dihumban ke dua lori polis berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru. Jalan menuju masjid itu juga telah ditutup kepada orang ramai.
8.25am: Sogo - Pusat membeli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman lebih mirip seperti pangkalan polis. Lebih 10 trak polis dan 100 anggota juga berada di kawasan ini. Terdapat sekatan jalan di kawasan ini. Setiap kenderaan juga diperiksa.
8.10am: Hotel Tune - Persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tunku Abdul Rahman kini dikawal tidak kurang 100 anggota polis yang memeriksa semua kenderaan yang melalui kawasan ini. Pelancong dilaporkan sukar mendapatkan teksi.
8.00am: Jalan Bukit Bintang - Kawasan pelancongan di Bukit Bintang masih kosong. Tidak banyak kereta mahupun pejalan khaki. Tidak terdapat ramai anggota polis di kawasan ini. Lokasi ini akan dijadikan tempat berkumpul Pemuda Umno pada jam 1.30 petang nanti.
7.50am: Masjid Jamek - Kehadiran polis yang ramai. Jalan di hadapan masjid telah ditutup kepada orang ramai.
7.45am: Masjid Negara - Puluhan jeep FRU dan lori meriam air ditempatkan sekitar bulatan Jalan Keretapi bertentangan kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Tiada sekatan jalanraya di kawasan ini tetapi kelihatan ramai anggota polis.